Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) terus memperkukuh komitmennya dalam memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta melahirkan generasi masa depan yang berdaya saing melalui KPS Berhad Celik Initiative.
Komitmen ini diraikan menerusi penganjuran Majlis Penutupan Rasmi dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Akhir KPS Berhad Celik Initiative 2026 yang berlangsung di Hotel Maya, Kuala Lumpur.
Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datin Safida Zalma Mohd Piah yang hadir selaku Tetamu Kehormat serta barisan pengurusan KPS Berhad dan Petrosains.
Sebagai inisiatif pelaburan sosial utama KPS Berhad, inisiatif ini diwujudkan bagi menyokong usaha negara meningkatkan penyertaan pelajar menengah rendah dalam bidang STEM selaras dengan aspirasi 60:40 Aliran Sains kepada Aliran Sastera yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Melalui inisiatif ini, para pelajar didedahkan kepada kemahiran masa depan seperti pemikiran kritis, kreativiti, inovasi, penyelesaian masalah dan penggunaan teknologi untuk menangani cabaran dunia sebenar.
Berbeza dengan sumbangan komuniti yang bersifat jangka pendek, inisiatif ini memberi tumpuan kepada pelaburan jangka panjang dalam pembangunan ilmu, kemahiran dan kebolehpasaran pelajar pada masa akan datang.
Bagi edisi 2026, KPS Berhad Celik Initiative memperkenalkan pendekatan pembelajaran yang diperkukuh melalui pengaturcaraan mikropengawal (microcontroller) dan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence (AI).
Inisitif tahun ini melibatkan 360 pelajar daripada 54 sekolah merentasi enam negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Pulau Pinang dan Kelantan.
Secara keseluruhannya, 42 prototaip inovasi berasaskan STEM telah berjaya dibangunkan oleh para peserta, membuktikan keupayaan generasi muda Malaysia dalam mengaplikasikan STEM dan teknologi baharu untuk menghasilkan penyelesaian yang kreatif, praktikal dan relevan.
Sepanjang tempoh pelaksanaan selama tujuh bulan, para peserta mengikuti pelbagai aktiviti termasuk sesi orientasi, bengkel Design Thinking, sesi bimbingan fizikal dan maya, pembangunan prototaip, Karnival STEM peringkat negeri, klinik pembentangan serta pertandingan akhir peringkat kebangsaan.
Pendekatan ini menggalakkan pelajar mengenal pasti cabaran dalam komuniti mereka, memahami keperluan pengguna dan seterusnya membangunkan penyelesaian yang praktikal serta berimpak melalui aplikasi STEM dan teknologi baharu.
SMK Krubong muncul juara
Pertandingan Akhir KPS Berhad Celik Initiative 2026 turut menyaksikan pasukan Kruss Makers 5 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong, Melaka dinobatkan sebagai Juara KPS Berhad Celik Initiative 2026 menerusi inovasi bertajuk Smart AI Flood Sensor.
Inovasi tersebut menghasilkan prototaip yang mampu mengesan kenaikan paras air banjir, sekali gus membantu komuniti mengurangkan kerugian akibat risiko banjir.
Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dimenangi oleh pasukan Nexora dari SMK Sungai Pusu, Selangor dan pasukan Rentara dari SMK Bandar Uda Utama, Johor.
Perkukuh pembelajaran STEM
Sebagai rakan strategik initiatif, Petrosains terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembelajaran STEM melalui kepakarannya dalam komunikasi sains, pembelajaran berasaskan pengalaman dan pendidikan STEM.
Petrosains bertanggungjawab mereka bentuk modul pembelajaran, mengendalikan bengkel dan sesi bimbingan serta membimbing peserta sepanjang perjalanan inovasi mereka daripada peringkat idea sehingga pembangunan prototaip.
Selain itu, Petrosains turut membangunkan rangka kerja Monitoring, Evaluation and Learning (MEL) bagi mengukur keberkesanan inisiatif ini dari aspek peningkatan pengetahuan STEM, keyakinan diri, kerja berpasukan, pemikiran inovatif serta minat berterusan pelajar terhadap laluan pendidikan dan kerjaya dalam bidang STEM.
Ketua Pegawai Kelestarian KPS Berhad, Zul Mawardi dalam ucapannya berharap agar inisiatif ini dapat terus memupuk minat terhadap bidang STEM, sekali gus melahirkan generasi innovator dan pencipta yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.
Beliau berkata, KPS Berhad komited untuk terus memperluaskan capaian dan impak KPS Berhad Celik Initiative agar lebih ramai pelajar di seluruh negara mendapat manfaat daripada pendidikan STEM yang berkualiti.
Selain memupuk minat pelajar terhadap STEM, KPS Berhad turut memberi tumpuan kepada daerah yang mencatatkan kadar penyertaan STEM yang lebih rendah bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat akses kepada pendidikan STEM yang berkualiti.
"Melalui pendekatan ini, KPS Berhad berusaha mewujudkan peluang yang lebih inklusif kepada pelajar di kawasan luar bandar serta komuniti yang kurang mendapat akses kepada pendidikan STEM, termasuk golongan B40 dan komuniti yang kurang berkemampuan.
"Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan KPS Berhad untuk memastikan manfaat pendidikan STEM dapat dinikmati oleh lebih ramai pelajar tanpa mengira latar belakang atau lokasi geografi mereka," katanya.
Sebagai sebuah syarikat yang beroperasi dalam sektor perindustrian dan pembuatan, beliau berkata, pihaknya percaya bahawa pelaburan dalam pendidikan STEM merupakan pelaburan strategik jangka panjang.
"Melalui KPS Berhad Celik Initiative, kami bukan sahaja memperkenalkan pelajar kepada bidang STEM, malah menyediakan platform untuk mereka meneroka potensi serta mengembangkan minat dalam bidang teknologi melalui pelbagai aktiviti pembelajaran, bengkel praktikal dan pendedahan kepada dunia industri.
"Kami juga akan terus memperkukuh elemen teknologi masa hadapan seperti AI, inovasi digital dan penyelesaian berasaskan teknologi dalam pelaksanaan inisiatif ini, sejajar dengan keperluan industri serta aspirasi negara untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi," ujar beliau.