Peruntukan hampir RM69 bilion kepada Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh kualiti pendidikan negara, termasuk menambah baik prasarana sekolah serta meningkatkan kebajikan murid dan guru.
Peruntukan itu merangkumi RM2 bilion bagi membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah serta hampir RM1.3 bilion untuk menaik taraf 682 sekolah daif, sekali gus berpotensi merapatkan jurang kemudahan pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Nazreena Mohammed Yasin berkata, peruntukan berkenaan dapat membantu memastikan murid menikmati persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif tanpa mengira lokasi sekolah.
"Kita perlu memahami bahawa jurang pendidikan bukan hanya berkaitan dengan perbezaan pencapaian akademik murid, tetapi juga peluang untuk belajar dalam persekitaran yang selamat, selesa dan dilengkapi kemudahan atau infrastruktur yang sesuai.
"Sebagai contoh, sekolah yang berhadapan dengan masalah bangunan, bekalan air, elektrik atau akses Internet mungkin menghadapi cabaran berbeza berbanding sekolah yang mempunyai kemudahan lebih lengkap. Oleh itu, peruntukan ini berpotensi membantu merapatkan jurang tersebut," katanya.
Mengulas peluasan pengambilan Pembantu Guru ke 200 sekolah rendah berkepadatan tinggi, beliau berkata, langkah itu membolehkan guru memberikan lebih tumpuan kepada tugas mendidik, merancang pengajaran, membimbing murid dan menilai perkembangan pembelajaran mereka.
Nazreena turut menekankan kepentingan memperkukuh kualiti pengajaran dan pembelajaran, termasuk penguasaan kemahiran berfikir secara kritis serta kemahiran digital, bagi memastikan peningkatan peruntukan pendidikan memberikan manfaat menyeluruh kepada murid.
Sementara itu, Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Wan Marzuki Wan Jaafar berkata, peningkatan peruntukan pendidikan daripada RM66.2 bilion tahun ini kepada RM69 bilion tahun depan merupakan pelaburan penting dalam pembangunan modal insan dan masa depan negara.
"Langkah seterusnya ialah memastikan setiap peruntukan diterjemahkan dengan cekap kepada hasil yang boleh dirasai, terutama dari segi keadaan sekolah, kesejahteraan murid, sokongan kepada guru dan akses kepada pendidikan berkualiti," katanya.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan"Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi" pada Jumaat lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan bagi membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah digandakan daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata, peruntukan bagi Sekolah Kebangsaan (SK) meningkat kepada RM900 juta, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) kepada RM100 juta dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) kepada RM50 juta.
Beliau turut mengumumkan peluasan pengambilan Pembantu Guru ke 200 sekolah rendah berkepadatan tinggi, dengan penambahan secara berfasa selepas penilaian keberkesanan dilaksanakan. - Bernama