Daripada PNGK 3.25 kepada 4.00, Zulfati Husna bangkit kejar impian jadi guru

Iklan
Kejayaan Zulfati Husna (tengah) bukan sahaja membawa kebanggaan, malah membuka laluan kepadanya untuk melanjutkan pengajian tinggi dengan bantuan tajaan pendidikan.

Bukan mudah untuk terus melangkah apabila keputusan yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.

Namun, bagi Zulfati Husna Zulkifli, 20, keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.25 bukan noktah kepada impiannya, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk bangkit dan berusaha lebih gigih.

Iklan
Iklan

Anak keempat daripada lima beradik dari Tanjung Tualang, Perak itu membuktikan kesungguhan mampu membawa perubahan apabila berjaya meningkatkan pencapaian kepada PNGK 4.00 menerusi peperiksaan ulangan.

Justeru, kejayaan itu melayakkan Zulfati Husna menjadi antara 27 pelajar terbaik STPM yang menerima Tajaan Yuran Pengajian Ijazah Sarjana Muda bagi Pelajar Terbaik STPM di Universiti Awam daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Iklan

Kini, beliau meneruskan langkah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam program Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) dengan Kepujian di Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), demi merealisasikan impian menjadi seorang pendidik.

Di sebalik pencapaian itu, perjalanan Zulfati Husna bukanlah tanpa cabaran. 

Iklan

Beliau berdepan masalah kesihatan apabila mengalami sakit kepala yang teruk ketika menduduki peperiksaan semester kedua STPM.

Keadaan tersebut menjadi ujian besar buat dirinya, namun Zulfati Husna memilih untuk tidak menyerah kalah. Sebaliknya, beliau mengambil peluang menduduki peperiksaan ulangan bagi memperbaiki keputusan yang diperoleh.

"Cabaran semasa belajar memang banyak, antaranya masalah kesihatan apabila saya diuji dengan sakit kepala yang amat teruk semasa dalam dewan peperiksaan,.

"Tetapi itu bukan penghalang untuk saya mencapai kejayaan kerana saya bangkit semula dalam peperiksaan ulangan dan alhamdulillah berjaya meningkatkan keputusan daripada 3.25 kepada 4.00," katanya dalam satu kenyataan media.

Berasal daripada keluarga sederhana, Zulfati Husna merupakan anak kepada Zulkifli Isha, 51, yang bekerja di sebuah kilang dan Rohana Jusoh, 51, seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Perak.

Bagi keluarga itu, kejayaan Zulfati Husna bukan sahaja membawa kebanggaan, malah membuka laluan kepada anak mereka untuk melanjutkan pengajian tinggi dengan bantuan tajaan pendidikan.

Zulkifli berkata, tajaan berkenaan sedikit sebanyak membantu meringankan beban keluarga dalam menyediakan keperluan pengajian di universiti.

Manakala Rohana pula berharap Zulfati Husna dapat menghadapi setiap cabaran sepanjang pengajian dengan tenang serta menjadikan proses menuntut ilmu sebagai satu ibadah.

"Tajaan ini sangat membantu dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga untuk menghantar Husna melanjutkan pengajian ke universiti," katanya.

USIM menjadi pilihan pertama Husna menerusi permohonan UPU kerana minatnya terhadap bidang pendidikan serta hasrat untuk membina kerjaya sebagai guru yang mampu memberikan manfaat kepada masyarakat.