Di sebalik luka yang tidak kelihatan: Kenapa buli mental perlu segera ditangani?

Iklan
Buli mental merangkumi perlakuan seperti menghina, mengugut, memalukan, memperlekeh, memulaukan atau memanipulasi emosi seseorang secara berulang sehingga menjejaskan kesejahteraan psikologinya. Gambar kecil: Dr Razif

Pernahkah kita terfikir bahawa seseorang yang tersenyum di hadapan kita sebenarnya sedang menanggung penderitaan yang tidak mampu diluahkan. Bagaimana jika setiap gelak tawa yang kita dengar hanyalah topeng untuk menyembunyikan ketakutan, penghinaan dan luka emosi yang semakin parah? Buli mental merujuk kepada perlakuan yang menyakiti, merendahkan, mengugut atau memanipulasi emosi seseorang sehingga menjejaskan harga diri, rasa selamat dan kesejahteraan psikologinya. Namun, adakah buli mental benar-benar berlaku di sekeliling kita, atau kita terlalu selesa menganggapnya sekadar gurauan, usikan rakan atau perkara biasa yang perlu ditelan dalam diam? Lebih membimbangkan, berapa ramai yang sedang menderita tanpa pengetahuan keluarga, guru, rakan sekerja mahupun masyarakat? Apabila penghinaan berulang dianggap hiburan, air mata disembunyikan kerana takut dipersalahkan dan kesunyian mangsa disalah tafsir sebagai tanda kekuatan, siapakah yang akan menyedari bahawa seseorang itu sebenarnya sedang berada di ambang keputusasaan? Kita mungkin tidak melihat darah, lebam atau kecederaan pada tubuh, tetapi adakah itu bermakna tiada luka yang sedang menghancurkan jiwa? Persoalan ini bukan sekadar mengundang renungan, malah menuntut tindakan segera. Buli mental bukan isu yang boleh dipandang ringan, kerana di sebalik luka yang tidak kelihatan, mungkin tersembunyi penderitaan yang semakin mendalam dan memerlukan pertolongan sebelum terlambat. 

Foto: Canva

Iklan
Iklan

Apabila perkataan buli disebut, ramai membayangkan tumbukan, tendangan atau kecederaan yang jelas pada tubuh. Namun, bagaimana pula dengan penderitaan yang tidak meninggalkan lebam, tetapi perlahan-lahan meruntuhkan keyakinan diri, mengganggu ketenangan emosi dan menjejaskan kesihatan mental? Buli mental sering tersembunyi di sebalik senyuman mangsa dan alasan bahawa semuanya sekadar gurauan. Persoalannya, jika sesuatu perlakuan menyakitkan seseorang berulang kali, mengapa kita masih menganggapnya perkara remeh? Bayangkan seorang pelajar yang menahan ejekan, penghinaan atau pemulauan setiap hari. Tiada siapa tahu bahawa dia sedang bergelut dengan tekanan emosi. Luka mereka tidak semestinya dapat dilihat, tetapi kesannya tetap nyata. Tidak semua kecederaan berdarah; sesetengahnya menjejaskan rasa selamat, harga diri dan kepercayaan seseorang terhadap orang lain.

Buli mental merangkumi perlakuan seperti menghina, mengugut, memalukan, memperlekeh, memulaukan atau memanipulasi emosi seseorang secara berulang sehingga menjejaskan kesejahteraan psikologinya. Perbuatan ini boleh berlaku di sekolah, institusi pengajian tinggi, tempat kerja, dalam keluarga dan di ruang digital serta media sosial. Teknologi menjadikan gangguan lebih sukar dielakkan: komen menghina, khabar angin dan kandungan yang memalukan boleh tersebar luas serta terus menghantui mangsa di rumah atau di mana-mana sahaja. 

Iklan

Foto: Canva

Kata-kata bukan hanya perkara kecil yang boleh di buat permainan kerana ia tidak meninggalkan kesan fizikal. Ini kerana kata-kata penghinaan, makian, kejian ataupun negatif yang berulang boleh menimbulkan rasa malu, takut, sedih dan tidak berharga; lama-kelamaan, mangsa buli mungkin mula meragui kebolehan sendiri atau mempercayai kata-kata negatif yang dilemparkan kepadanya. Keadaan ini akan menyebabkan mangsa buli merasa tidak berguna, kecewa yang melampau dan mula mengasingkan diri dari kelompok ramai. Apa yang perlu kita lakukan sebenarnya adalah menjaga adab dalam bertutur dan bercakap dengan seseorang. Pelihara cara kita berkomunikasi dengan komunikasi secara hormat, beradab dan berempati bukan sekadar tanda kesopanan, malah tanggungjawab terhadap menjaga kesejahteraan orang lain.

Iklan

Bagaimanakah kita dapat membezakan buli mental daripada gurauan yang keterlaluan atau konflik biasa? Kita perlu sedari bahawa tidak semua perselisihan itu ialah buli. Antara ciri penting buli ialah perlakuan menyakiti yang berulang dan ketidakseimbangan kuasa antara pelaku dengan mangsa. Kuasa itu tidak semestinya berbentuk fizikal; ia boleh datang daripada populariti, keupayaan menguasai sesuatu, pengaruh kumpulan, jawatan, status sosial atau keupayaan memalukan seseorang melalui teknologi. Mangsa mungkin berdiam diri kerana takut dibalas, dipersalahkan atau dipulaukan. Dalam keadaan mangsa yang tidak melawan, mangsa dianggap lemah oleh pembuli, dan akhirnya aktiviti buli ini terus-menerus dilakukan. Bahaya yang mungkin lahir dari perbuatan ini mungkin akan timbulnya dendam yang mendalam serta tekanan perasaan oleh mangsa buli dan tersimpan dalam hati hingga bila-bila. Kita perlu sedar juga bahawa, kesunyian mangsa buli kerana menyendiri dan mengasingkan diri dari orang ramai bukan bererti mereka tidak terkesan atau berdiam diri, sebaliknya mungkin tanda bahawa mereka tidak tahu cara mendapatkan perlindungan atau mereka sedang cuba bangkit melawan perasaan dan trauma yang terlalu mendalam akibat buli.

Kesan buli mental melangkaui perasaan sedih buat sementara waktu. Tekanan yang berpanjangan boleh memberi impak negatif kepada sistem fisiologi seseorang. Antaranya ialah buli mental boleh mengganggu tidur, tumpuan dan hubungan sosial. Pelajar mungkin akan hilang minat belajar, kerap tidak hadir atau mengalami kemerosotan prestasi akademik. Di tempat kerja, mangsa boleh kehilangan motivasi, sukar menumpukan perhatian dan berasa tidak selamat, yang akhirnya akan menurunkan prestasi kerja dan semangat berpasukan. 

Menurut laporan Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat Dewan Rakyat pada 2025, Sistem Sahsiah Diri Murid Kementerian Pendidikan Malaysia merekodkan 5,703 pelajar terlibat dalam kes buli sehingga Oktober 2024, berbanding 5,891 pada 2023 dan 3,887 pada 2022. Manakala, laporan PISA oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi yang diterbitkan pada 2026 pula menyatakan sekitar 27 peratus pelajar di Malaysia mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk buli beberapa kali sebulan atau lebih, berbanding purata 20 peratus di negara lain yang dilaporkan. Antaranya juga adalah mendapat pengalaman dibuli mental termasuk ejekan, body shaming dan penyebaran khabar angin yang tidak betul. Dapatan laporan tersebut menunjukkan bahawa isu buli ini perlu diberikan perhatian serius supaya tidak terus-menerus menghantui masyarakat. Jumlah kes yang direkodkan juga mungkin tidak merangkumi semua kejadian. Ini kerana ada mangsa yang takut, malu atau tidak yakin aduan mereka akan diambil serius akibat hilang kepercayaan kepada orang terdekat seperti kaunselor, guru, rakan-rakan dan sebagainya akibat kerisauan aduannya yang sulit dijadikan bahan jajaan dan buah mulut orang ramai kerana aduan tersebut dibocorkan kepada orang lain. Oleh yang demikian, semia pihak termasuklah warga sekolah, keluarga dan masyarakat perlu membina persekitaran yang selamat serta memudahkan mangsa mendapatkan bantuan. 

Foto: Canva

Dari sudut fisiologi, tekanan emosi mempunyai hubungan rapat dengan tindak balas tubuh, fungsi otak, kawalan hormon dan tingkahlaku. Apabila seseorang berulang kali berhadapan dengan penghinaan atau ancaman sosial, otak mungkin mentafsir pengalaman itu sebagai ancaman terhadap keselamatan diri. Bahagian amigdala di otak yang terlibat dalam pemprosesan ancaman dan emosi, manakala sistem hipotalamus-pituitari-adrenal atau HPA, akan membantu mengatur tindak balas tekanan. Melalui sistem ini, tubuh boleh menghasilkan kortisol, hormon yang membantu mengurus tenaga dan menyesuaikan diri dengan tekanan. Adrenalin pula menyokong tindak balas pantas ketika seseorang berasa terancam.

Namun, apabila tekanan berulang tanpa ruang pemulihan yang mencukupi, pengawalan sistem otak dan HPA ini boleh berubah. Sesetengah individu mungkin mengalami masalah tidur, keletihan, kesukaran mengawal emosi atau ketidakselesaan fizikal. Gangguan penghasilan hormon juga boleh berlaku dan mengakibatkan masalah-masalah lain seperti haid yang tidak teratur, perubahan emosi yang mendadak, cepat marah dan sebagainya. Tekanan psikologi yang berpanjangan ini wajar diberi perhatian sebagai isu kesihatan dan perlu dibantu, bukan terus ditusing sebagai satu kelemahan peribadi.

Dalam pada itu juga, sistem kardiovaskular juga boleh menunjukkan tindak balas terhadap tekanan. Rasa takut atau terancam boleh mengaktifkan sistem saraf simpatetik, meningkatkan kadar denyutan jantung dan mengubah tekanan darah buat sementara waktu. Mangsa mungkin berasa jantung berdebar, otot tegang, sakit kepala atau tidak selesa apabila bertemu pelaku atau berada di tempat yang mengingatkan mereka kepada kejadian. Tekanan turut boleh mempengaruhi hubungan antara otak dengan usus, lalu mengganggu selera makan, masalah usus dan perut. Ada mangsa yang mengalami loya atau sakit perut sebelum ke sekolah atau tempat kerja kerana asyik teringat-ingat kata-kata negative yang selalu dilontarkan oleh pembuli.

Dari segi psikologi, buli boleh dikaitkan dengan kebimbangan, kemurungan, kesunyian dan rasa tidak dihargai. Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan bahawa kira-kira seorang daripada tujuh remaja berusia 10 hingga 19 tahun di seluruh dunia mengalami gangguan kesihatan mental. Keganasan, termasuk buli, merupakan antara faktor yang boleh menjejaskan kesejahteraan remaja, tetapi angka tersebut merujuk kepada gangguan kesihatan mental secara umum, bukan kesan buli mental semata-mata. Dalam keadaan serius, sesetengah mangsa mungkin mengalami kecederaan kendiri atau pemikiran untuk bunuh diri. Tanda sedemikian menuntut orang yang terdekat dengan mangsa perlu segera mendapatkan bantuan profesional untuk membantu mangsa dan tidak memadai ditangani dengan menyuruh mangsa bersabar dan terus bersabar.

Jika buli dibiarkan tanpa tindakan, pelaku mungkin menganggap penghinaan atau penyalahgunaan kuasa sebagai cara yang boleh diterima untuk mengawal orang lain. Saksi pula boleh menjadi takut untuk bersuara atau mula menganggap perlakuan tersebut sebagai perkara biasa. Akhirnya, kesannya merosakkan kepercayaan dan budaya sesebuah sekolah, organisasi atau komuniti. Melindungi mangsa bukan tugas mangsa seorang; ia tanggungjawab bersama. Sebagai orang yang bertanggungjawab, kita tidak boleh terus-menerus menjadi enabler untuk kes-kes buli mental yang berlaku di sekitar kita. Tindakan perlu diambil dan bantuan psikologi perlu disegerakan untuk melindungi mangsa agar tidak terus menjadi trauma yang akhirnya boleh memudaratkan kesejahteraan hidup mangsa.

Langkah pertama ialah menyediakan saluran aduan yang jelas, mudah diakses, sulit dan boleh dipercayai. Sekolah serta organisasi perlu menilai aduan secara adil, menyiasat berdasarkan bukti, menjaga kerahsiaan dan melindungi pengadu daripada tindakan balas. Aduan tidak sepatutnya dijadikan bahan bualan atau alasan untuk memalukan mangsa sekali lagi. Pendidikan tentang empati, pengurusan emosi, komunikasi berhemah dan penyelesaian konflik juga perlu dijalankan secara berterusan dan konsisten. Pelaku perlu dipertanggungjawabkan dan dibimbing untuk mengubah tingkah laku, adab, cara berkomukasi dan menyantuni masyarakat.

Adapun, noktah terpenting adalah sokongan keluarga yang boleh menjadi titik mula pemulihan. Dengar pengalaman mangsa tanpa menyalahkan atau terus mempersoalkan tindakannya dan keadaan yang dialami. Ungkapan seperti 'jangan terlalu sensitif' atau 'belajarlah mempertahankan diri' mungkin membuatkan mangsa berasa tidak dipercayai dan akan terus menerus mengalami tekanan perasaan dan berasa seperti sudah tiada lagi orang yang mempercayai dirinya. Sebaliknya, akui kesusahan yang dialami, tanyakan apa yang diperlukan untuk berasa selamat dan bantu mendapatkan pertolongan. Jika berlaku gangguan tidur yang berpanjangan, keresahan melampau atau kemurungan, bantu mereka untuk mendapatkan penilaian profesional daripada ahli psikologi klinikal yang bertauliah, kaunselor, dan sebagainya. 

Tindakan segera tidak perlu menunggu sehingga berlaku kecederaan fizikal. Bagi kes buli melibatkan murid di sekolah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, mangsa atau saksi boleh melaporkan kejadian kepada guru yang dipercayai, guru kaunseling, guru disiplin atau pengetua. Jika aduan tidak ditangani dengan sewajarnya, laporan boleh dibuat melalui Portal Aduan Buli KPM. Bagi ugutan, pemerasan, penghendapan atau ancaman keselamatan, laporan boleh dibuat kepada Polis Diraja Malaysia; hubungi 999 jika terdapat kecemasan yang mengancam nyawa atau keselamatan. Talian Kasih 15999 juga boleh dihubungi bagi mendapatkan bantuan berkaitan kebajikan, penderaan atau sokongan.

Untuk buli mental melalui siber pula, simpan tangkap layar, pautan, nama akaun serta tarikh dan masa kejadian. Laporkan kandungan kepada platform berkenaan dan rujuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi aduan berkaitan komunikasi atau kandungan dalam talian. Ketika membuat laporan, terangkan apa yang berlaku, bila dan di mana kejadian berlaku, siapa yang terlibat serta maklumat saksi jika diketahui. Simpan bukti dengan selamat, catat nombor rujukan aduan dan buat susulan jika tiada perkembangan. Elakkan menyebarkan bukti sensitif secara terbuka kerana tindakan itu boleh mendedahkan identiti mangsa, menambah tekanan dan menjejaskan proses siasatan.

Mangsa juga perlu mengutamakan keselamatan diri. Jika sesuai dan selamat, nyatakan sempadan dengan tegas, tetapi elakkan konfrontasi yang boleh meningkatkan bahaya. Dapatkan sokongan daripada keluarga, rakan dipercayai, guru atau rakan sekerja. Dalam talian, kukuhkan tetapan privasi, sekat akaun yang mengganggu dan simpan bukti sebelum membuat laporan. Jangan membalas dengan ancaman atau menyebarkan maklumat peribadi pelaku kerana tindakan itu boleh memburukkan keadaan. Ingatlah, mangsa tidak bertanggungjawab atas keputusan orang lain untuk membulinya. Meminta bantuan bukan tanda kekalahan, dan bersuara melalui saluran yang selamat bukan suatu kesalahan.

Akhirnya, persoalannya bukan sama ada buli mental meninggalkan kesan, tetapi berapa lama kita sanggup membiarkannya berlaku sebelum bertindak. Di sebalik penghinaan yang dianggap gurauan, mungkin ada seseorang yang kehilangan tidur, keyakinan, maruah dan rasa tidak selamat. Kesedaran sahaja tidak mencukupi jika tiada tindakan susulan melaporkan. Sebagai masyarakat dan individu yang bertanggungjawab, jangan anggap kesunyian mangsa bermakna mereka baik-baik sahaja; jangan jadikan penderitaan orang lain sebagai hiburan; dan jangan biarkan ketakutan menghalang kita daripada melakukan perkara yang betul.

Jika anda menjadi mangsa, dapatkan bantuan. Jika anda menyaksikan buli, laporkan melalui saluran yang selamat dan betul. Jika anda bertanggungjawab melindungi orang lain, bertindaklah dengan adil, tegas, berhemah dan bertanggungjawab. Satu laporan mungkin menjadi titik perubahan yang menghentikan gangguan dan membuka ruang untuk pemulihan. Masyarakat yang matang bukan masyarakat yang tidak pernah berhadapan dengan buli, tetapi masyarakat yang enggan membiarkannya berterusan tanpa tindakan. Kita perlu melindungi bukan sahaja tubuh daripada keganasan, tetapi juga kesihatan mental, maruah dan kemanusiaan setiap individu. Keberanian sebenar bukan sekadar kemampuan melawan, tetapi kesanggupan melindungi mereka yang sedang terluka.

Maklumat penulis:

Pensyarah Kanan (Fisiologi), Jabatan Sains Asas, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor, Bandar Puncak Alam, Selangor, Dr Razif Dasiman

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my