Kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat digesa mengambil tindakan proaktif bagi memastikan kebajikan serta kelangsungan pembelajaran murid terus terpelihara ketika berdepan fenomena jerebu.
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah, kerjasama semua pihak amat penting bagi menangani kesan fizikal dan psikologi jerebu terhadap murid serta keluarga, selain memastikan pendidikan generasi muda tidak terjejas.
Seri Paduka Baginda turut menekankan kepentingan memperkasa pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) melalui kerjasama erat komuniti setempat supaya proses pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Menurut baginda, usaha menangani kesan jerebu perlu dirancang secara menyeluruh dan tidak hanya bergantung kepada penyelesaian sementara ketika krisis berlaku.
“Tindakan kolektif terutamanya daripada pihak kerajaan dan sektor swasta bagi merancang langkah proaktif diperlukan bagi menangani kesan fizikal serta psikologi jerebu terhadap pelajar dan keluarga.
“Di samping itu, kerjasama erat daripada komuniti setempat amat diperlukan untuk memperkasa pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) agar lebih berkesan.
“Pihak berkaitan juga perlu merangka pelan strategi bagi jangka masa panjang, bukannya sekadar penyelesaian sementara sewaktu krisis jerebu melanda,” titah Seri Paduka Baginda.
Titah tersebut disampaikan menerusi perutusan sempena Sesi Menghadap Takzim Kerajaan Negeri Johor, Ibu Bapa serta Warga Pendidik Berhubung Isu Jerebu dan Persekolahan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Kesidang, Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), pada Isnin.
Majlis itu turut disertai Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Dalam perutusan sama, Raja Permaisuri Agong merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Jeffrey Cheah dan Jeffrey Cheah Foundation atas sumbangan pelitup muka untuk kegunaan murid sekolah di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Baginda turut menghargai komitmen Tan Sri Patrick Yeoh dan YTL Communications yang membekalkan kad SIM bagi menyokong akses pembelajaran digital pelajar.
Sumbangan berkenaan mencerminkan kepentingan sokongan pelbagai pihak dalam membantu murid meneruskan pembelajaran, khususnya apabila keadaan memerlukan mereka belajar dari rumah.
Sesi berkenaan turut disertai Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir dan Exco Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali.
Hadir sama wakil jabatan negeri dan Persekutuan, guru, ibu bapa serta wakil penduduk Bangsa Johor Bahagia (BJB) dan Program Perumahan Rakyat (PPR).