Bersaing dengan puluhan kumpulan tarian dari negara lain bukan sesuatu yang mudah. Namun, itulah cabaran yang berjaya ditempuhi kumpulan Tingkah Masyhur dari Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2, Selangor.
Membawa nama Malaysia ke Indonesia, kumpulan tersebut berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan International Group Dance Competition sempena 5th Indonesia International Culture Festival (IICF) 2026 di Symphony of the Sea, Ancol Taman Impian, Jakarta, Indonesia.
Menerusi kenyataan media yang dikirimkan kepada Sinar Bestari, Tingkah Masyhur perlu bersaing dengan 83 kumpulan lain dalam pertandingan yang menghimpunkan peserta dari sembilan negara iaitu Indonesia, Poland, Mongolia, Filipina, Rusia, Bangladesh, India, Sri Lanka dan Malaysia.
"Walaupun berdepan saingan daripada pelbagai negara, murid-murid ini tetap memberikan persembahan terbaik menerusi tarian kreasi yang dipertontonkan," kongsi kenyataan itu.
Sebenarnya, ini bukan kali pertama Tingkah Masyhur bertanding di Indonesia.
Pada tahun lalu, kumpulan berkenaan telah menyertai Bandung International Dance Competition dan berjaya membawa pulang gelaran johan.
Kali ini, mereka kembali ke Indonesia dan sekali lagi berjaya menempatkan diri antara kumpulan terbaik. Nampaknya, pengalaman tahun lalu menjadi satu lagi kenangan yang boleh dijadikan pembakar semangat untuk terus mencuba.
Sementara itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan yang ahli-ahli Tingkah Masyhur terdiri daripada murid Tahun Dua hingga Tahun Enam.
"Di belakang pencapaian tersebut, ada tiga guru dan jurulatih yang sentiasa membimbing mereka iaitu Mohamad Shahril Abd Aziz, Rafini Ramli dan Noor Annin Mohd Talib.
"Bukan senang untuk memastikan setiap murid dapat mengikut rentak dan bergerak bersama-sama. Mereka perlu berlatih, mengingati pergerakan serta belajar bekerjasama supaya persembahan dapat dilakukan dengan baik.
"Diharapkan kejayaan ini menjadi pembakar semangat buat peserta untuk terus mengasah bakat dan berani menyahut cabaran yang lebih besar," kongsinya lagi.