Jerebu: Sekolah di Selangor, Melaka, Pahang beroperasi seperti biasa esok

Iklan
Institusi pendidikan di bawah pentadbiran JPN Selangor, Melaka dan Pahang akan beroperasi seperti biasa esok. Foto hiasan

Institusi pendidikan di bawah pentadbiran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Melaka dan Pahang akan beroperasi seperti biasa esok, namun semua aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan berikutan keadaan jerebu.

Di SELANGOR, JPN dalam kenyataan memaklumkan murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, pihak pentadbir sekolah juga perlu sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) serta memberi perhatian khusus kepada murid berisiko tinggi.

Di MELAKA, JPN memaklumkan ibu bapa atau penjaga yang bimbang mengenai kesihatan anak-anak dibenarkan tidak menghantar mereka ke sekolah, dengan syarat memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.

Iklan

Ibu bapa, penjaga dan warga sekolah juga dinasihatkan merujuk saluran komunikasi rasmi JPN Melaka atau pihak sekolah bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini.

Sementara itu, di PAHANG, JPN menyatakan semua sekolah di daerah Bentong beroperasi seperti biasa bermula esok, namun semua aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak.

Iklan

Jabatan itu turut menggalakkan semua warga sekolah di daerah Bentong untuk memakai pelitup muka, manakala sekolah di daerah lain beroperasi seperti biasa. - Bernama