Dari 440 ke 397: Apakah yang diperlukan untuk pelajar Malaysia menemui hala tuju dalam Matematik?

Iklan
Sumber data: Laporan OECD PISA (2009-2025). Graf dihasilkan oleh penulis.

Prestasi Matematik Malaysia sekali lagi merosot dalam keputusan terkini Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA), yang diumumkan pada September 2026.

Dikendalikan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), PISA menilai sejauh mana murid berusia 15 tahun dapat menggunakan pengetahuan dan kemahiran Matematik, Bacaan dan Sains dalam situasi kehidupan sebenar.

Iklan
Iklan

Setelah bertahun-tahun usaha dilakukan untuk meningkatkan pencapaian Matematik, skor Malaysia masih menurun. Mengapakah kemerosotan ini masih belum dapat dibendung?

Sejak Malaysia mula menyertai PISA pada 2009, skor Matematik negara meningkat daripada 404 mata pada 2009 kepada 421 mata pada 2012, sebelum mencapai 440 mata pada 2018.

Iklan

Namun, peningkatan itu kemudiannya bertukar menjadi kemerosotan yang ketara. Skor Malaysia jatuh sebanyak 31 mata antara 2018 dengan 2022, antara penurunan yang lebih besar dalam kalangan peserta PISA sepanjang tempoh tersebut.

Skor ini kemudian turun lagi sebanyak 12 mata antara 2022 dengan 2025. Berbanding dengan purata OECD, skor Matematik Malaysia kekal lebih rendah dalam semua kitaran PISA yang dilaporkan dari 2009 hingga 2025. Jurang itu melebar kepada 66 mata pada 2025. 

Iklan

Walau bagaimanapun, keputusan PISA Malaysia bagi 2015 tidak dimasukkan dalam perbandingan trend rasmi OECD kerana kadar respons sebanyak 51% tidak mencapai ambang yang ditetapkan, iaitu 85%. Oleh itu, skor Malaysia bagi 2015 tidak dipaparkan dalam trend di atas.

Dalam kalangan negara ASEAN yang menyertai PISA, prestasinya berbeza-beza. Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam dan Indonesia mencatatkan penurunan, manakala Thailand, Filipina dan Kemboja menunjukkan peningkatan.

Thailand memperoleh tambahan 13 mata untuk mencapai skor 407, sekali gus mengatasi Malaysia. Filipina meningkat sebanyak 16 mata kepada 371, sementara Kemboja mencatatkan peningkatan terbesar, iaitu 30 mata, kepada 366.

Skor Malaysia kini hanya 26 mata lebih tinggi daripada Filipina dan 33 mata lebih tinggi daripada Indonesia, tetapi 10 mata di bawah Thailand.

Namun, kedudukan antara negara hanya menceritakan sebahagian daripada keadaan sebenar. Gambaran yang lebih jelas dapat dilihat apabila kita meneliti tahap penguasaan murid.

Menurut laporan PISA 2025 OECD, penguasaan Matematik merujuk kepada keupayaan murid menaakul secara Matematik dan menggunakan Matematik untuk menyelesaikan masalah dunia sebenar.

Pentaksiran Matematik PISA membahagikan prestasi murid kepada lapan tahap penguasaan, iaitu Tahap 1c, 1b, 1a, 2, 3, 4, 5 dan 6. Kategori tambahan, iaitu 'Di bawah Tahap 1c',  digunakan bagi murid yang belum mencapai ambang Tahap 1c.

Murid pada Tahap 1a, 1b dan 1c dikategorikan belum mencapai tahap minimum penguasaan Matematik, iaitu Tahap 2. Mereka mungkin menghadapi kesukaran menggunakan pengetahuan dan kemahiran Matematik untuk menyelesaikan masalah harian.

Tahap 3 dan 4 merupakan tahap pertengahan. Pada tahap ini, murid boleh menggunakan pengetahuan Matematik dalam situasi yang agak kompleks serta mentafsir maklumat untuk menyelesaikan masalah.

Tahap 5 dan 6 pula menunjukkan penguasaan lanjutan. Murid pada tahap ini dapat menangani situasi Matematik yang kompleks, membina strategi untuk menyelesaikan masalah yang belum pernah ditemui dan menaakul secara matematik pada aras yang lebih tinggi.

Dalam keputusan 2025, sebanyak 65% murid Malaysia tidak mencapai tahap minimum penguasaan Matematik, iaitu Tahap 2.

Keadaan ini dilaporkan semakin merosot sebanyak 23% sejak 2018. Sebagai perbandingan, purata OECD bagi murid yang berada di bawah Tahap 2 ialah 35%. Ini bermakna perkadaran murid Malaysia pada tahap tersebut hampir dua kali ganda purata OECD.

Selain itu, hanya 0.6% murid Malaysia mencapai tahap penguasaan Matematik yang tinggi, iaitu Tahap 5 dan 6, berbanding dengan purata OECD sebanyak 8%.

Keputusan 2025 memperlihatkan cabaran pembelajaran Matematik pada kedua-dua hujung tahap penguasaan.

Ramai murid Malaysia memerlukan sokongan yang lebih kukuh untuk membina kefahaman dan penaakulan bagi menggunakan Matematik dalam kehidupan harian.

Pada masa yang sama, terlalu sedikit murid yang mencapai tahap penguasaan tertinggi. 

Sumber data: Laporan OECD PISA ( 2025). Graf dihasilkan oleh penulis.

Berdasarkan standard penguasaan OECD, murid berusia 15 tahun yang mendapat skor di bawah Tahap 2 dalam pentaksiran Matematik PISA dianggap sebagai murid berpencapaian rendah.

Dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menetapkan sasaran agar semua remaja di seluruh dunia mencapai sekurang-kurangnya Tahap 2 dalam Matematik menjelang tamat pendidikan menengah rendah.

Jika tahap ini tidak dicapai, mereka akan menghadapi kesukaran untuk melanjutkan pelajaran atau bersaing dalam dunia pekerjaan, yang kedua-duanya memerlukan kemahiran asas Matematik.

Sementara itu, bilangan murid pada tahap penguasaan tinggi yang terlalu kecil turut menimbulkan kebimbangan. Jika keadaan ini berterusan, Malaysia mungkin berdepan kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Bank Dunia (2026) telah mengetengahkan isu kekurangan kemahiran yang sedang dihadapi Malaysia. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan bahawa negara mungkin perlu mengambil lebih ramai tenaga pakar dari luar negara untuk memenuhi keperluan industri yang memerlukan kemahiran Matematik, analisis dan penyelesaian masalah pada aras tinggi.

Usaha menangani cabaran ini memerlukan komitmen berterusan pada beberapa peringkat termasuk sistem pendidikan, sekolah, guru, murid dan ibu bapa.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan pembaharuan utama, termasuk Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) dan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 (RPM) yang lebih menyeluruh.

RPM turut menggariskan Rancangan Transformasi Pendidikan Matematik Malaysia untuk tempoh sepuluh tahun. Inisiatif ini menyediakan asas penting untuk menambah baik sistem pendidikan.

Namun, ketika KP2027 dibangunkan, adakah pentaksiran, latihan guru, pembangunan buku teks dan pengumpulan data pembelajaran pada peringkat sistem akan bergerak seiring dengan kurikulum tersebut?

Atau adakah kurikulum akan berubah sedangkan sokongan penting untuk melaksanakannya masih berada pada tahap yang sama?

Oleh itu, bagi memastikan pembaharuan kurikulum benar-benar meningkatkan pembelajaran Matematik, beberapa perkara disarankan untuk diberi perhatian.

Pertama, pemantauan di bawah RPM perlu melihat taburan murid mengikut tahap penguasaan PISA, di samping purata skor kebangsaan.

Taburan ini memberikan gambaran yang lebih jelas tentang berapa ramai murid yang belum menguasai asas Matematik, berada pada tahap pertengahan atau mencapai tahap tinggi.

Setiap kumpulan memerlukan bentuk sokongan yang berbeza. Oleh itu, peningkatan purata skor kebangsaan sahaja belum memadai kerana jurang penguasaan antara murid mungkin masih berterusan meskipun skor negara meningkat.

Dengan meneliti perubahan tahap penguasaan mengikut kumpulan murid dan konteks sekolah, kita dapat mengenal pasti siapa yang mendapat manfaat daripada intervensi yang dilaksanakan dan siapa yang masih memerlukan perhatian.

Kedua, bagi memantau perkembangan pembelajaran antara kitaran PISA, Malaysia boleh mempertimbangkan pentaksiran kebangsaan setiap tahun atau dua tahun sekali yang menumpukan pada penaakulan Matematik dan penyelesaian masalah.

Dapatan ini dapat membantu mengesan jurang pembelajaran lebih awal, manakala pentaksiran bilik darjah membolehkan guru memahami kesukaran khusus murid dan memberikan maklum balas segera.

Maklumat daripada kedua-dua bentuk pentaksiran ini perlu digunakan untuk menyesuaikan pengajaran dan menentukan sokongan yang diperlukan murid. Dengan cara ini, tindakan dapat diambil lebih awal tanpa menunggu keputusan PISA seterusnya.

Ketiga, pembangunan profesional guru di bawah KP2027 perlu memberikan tumpuan kepada pengukuhan penaakulan Matematik guru sendiri. Guru juga memerlukan peluang untuk mendalami kemahiran ini.

Memahami sebab sesuatu prosedur Matematik berfungsi dan mengenal pasti bahagian yang mungkin menyukarkan murid dapat membantu guru menerangkan konsep dengan lebih berkesan.

Keupayaan mengenal pasti miskonsepsi serta memberikan respons terhadap penyelesaian murid yang tidak dijangka turut membantu guru memperjelas idea Matematik.

Perbincangan bersama rakan guru tentang tugasan sebenar dalam pengajaran dan respons murid dapat menghubungkan pembelajaran profesional ini dengan amalan harian di bilik darjah.

Keempat, pengajaran kemahiran penaakulan tidak perlu menunggu sehingga murid menguasai semua kemahiran asas Matematik. Guru boleh menyepadukan penaakulan ketika mengajar kemahiran asas.

Semasa murid mempelajari sesuatu prosedur, berikan mereka peluang untuk menjelaskan mengapa kaedah itu berfungsi, mengenal pasti kesilapan, membandingkan penyelesaian yang berbeza atau menggunakan prosedur tersebut dalam situasi yang belum pernah ditemui.

Dengan menyesuaikan kerumitan soalan mengikut kesediaan murid, guru dapat mengukuhkan kemahiran dan kefahaman Matematik secara serentak.

Kelima, literasi kecerdasan buatan (AI) perlu diberi perhatian khusus. Menurut OECD 2025, 94% murid di negara Malaysia pernah menggunakan AI untuk tugasan sekolah.

Berdasarkan dapatan PISA, penggunaan AI mempunyai perkaitan dengan prestasi yang lebih rendah dalam sesetengah bidang pentaksiran.

Ramai murid masih kekurangan kemahiran untuk menilai secara kritis jawapan yang dijana oleh AI. Dalam Matematik, murid memerlukan peluang untuk menyemak pengiraan, mempersoalkan andaian dan menilai kesahihan penerangan yang dijana AI.

Kebolehan ini boleh dibangunkan melalui tugasan bilik darjah yang menghendaki murid menjelaskan serta mengesahkan jawapan mereka. Oleh itu, literasi AI perlu melangkaui kemahiran digital asas supaya murid dapat menilai secara kritis ketepatan dan penaakulan Matematik dalam hasil yang dijana AI.

Pelbagai usaha telah digerakkan untuk memperkukuh pendidikan matematik negara dengan pembinaan asas Matematik serta usaha untuk peningkatan skor PISA.

Rancangan Transformasi Pendidikan Matematik Malaysia selama sepuluh tahun dan KP2027 mencerminkan komitmen besar terhadap perubahan ini.

Namun, hasilnya bergantung pada sejauh mana semua pihak bergerak bersama, dengan kurikulum, pentaksiran, pembangunan profesional guru dan amalan bilik darjah saling menyokong.

Keselarasan ini perlu diterjemahkan kepada sokongan yang benar-benar sampai kepada guru dan murid.

Barulah segala usaha tersebut dapat membuahkan hasil yang bermakna: lebih ramai murid menguasai asas Matematik dan lebih luas peluang untuk mereka mengembangkan keupayaan ke tahap yang lebih tinggi.

Maklumat penulis:

Kumpulan ahli akademik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Lim Yi Wei, Fariedah Lal Chan dan Ho Chong Mun

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my