Apabila mendengar perkataan 'godam', ramai membayangkan kata laluan dicuri, akaun diceroboh atau sistem komputer ditembusi. Namun, dalam banyak kes penipuan siber, penipu cuba mempengaruhi emosi manusia melalui bahasa terlebih dahulu.
Ketakutan, kecemasan, rasa kasihan, keterujaan terhadap keuntungan, rasa malu dan kasih sayang boleh dimanipulasikan sehingga perhatian mangsa tertumpu pada ancaman atau janji yang diberikan. Apabila emosi memuncak, seseorang lebih mudah membuat keputusan yang mungkin tidak akan dibuatnya dalam keadaan tenang.
Penipu juga tidak memerlukan mesej yang panjang kerana beberapa perkataan sahaja sudah mampu mengubah keadaan emosi dan tumpuan seseorang. Ungkapan seperti 'Akaun puan akan dibekukan', 'Anak encik terlibat dalam kemalangan', 'Peluang ini tamat hari ini' dan 'Jangan beritahu sesiapa' menghasilkan tekanan emosi yang berbeza. Sesetengah ungkapan menimbulkan ketakutan, manakala ungkapan lain membangkitkan harapan, memanfaatkan hubungan kekeluargaan atau memaksa mangsa merahsiakan perbualan. Dalam konteks ini, bahasa bukan sahaja menyampaikan maklumat, tetapi juga melakukan tindakan seperti mengancam, mendesak, memujuk, meraih simpati dan menutup ruang semakan.
Ketakutan sering dimanfaatkan oleh penipu yang menyamar sebagai pegawai polis, pegawai bank, pegawai mahkamah atau wakil agensi kerajaan. Mereka mungkin menyebut nombor kes, waran tangkap, transaksi mencurigakan, kesalahan tertentu atau kemungkinan akaun disekat. Penggunaan nada rasmi dan istilah undang-undang membuatkan mangsa berasa seolah-olah sedang berhadapan dengan pihak berkuasa yang sah. Ketakutan terhadap hukuman akhirnya boleh mendorong mangsa mematuhi arahan, meskipun arahan yang diberikan tidak munasabah.
Rasa cemas pula dibina melalui tekanan masa. Penipu mendakwa bahawa sesuatu urusan mesti diselesaikan sebelum tengah hari, kod akan luput dalam beberapa minit atau peluang hanya dibuka kepada sejumlah kecil orang. Tempoh yang singkat mengurangkan kesempatan mangsa untuk berbincang dengan keluarga, menghubungi bank atau mencari maklumat daripada sumber yang sah. Perkataan seperti 'sekarang', 'segera' dan 'cepat' kerap digunakan untuk mengawal rentak perbualan serta mempercepat keputusan mangsa.
Rasa kasihan turut menjadi jalan masuk dalam penipuan yang melibatkan penyamaran sebagai ahli keluarga atau rakan. Mesej yang dihantar mungkin menyebut telefon yang rosak, akaun yang terganggu, bil hospital, kemalangan atau kesukaran membayar sesuatu. Panggilan hubungan seperti mak, ayah, abang dan sayang pula menambahkan kesan emosi kerana ungkapan tersebut mewujudkan gambaran hubungan yang dekat. Mangsa terdorong untuk membantu kerana hubungan yang disamar itu terasa benar, bukannya kerana cerita yang diberikan telah disahkan.
Dalam penipuan percintaan atau love scam, kasih sayang dan kepercayaan lazimnya dibina dalam tempoh yang lebih panjang. Penipu memberikan perhatian, bertanya khabar, melontarkan pujian dan berkongsi cerita peribadi sehingga hubungan tersebut kelihatan rapat. Hubungan emosi yang telah dibina kemudian dimanfaatkan untuk meminta wang dengan alasan kecemasan, bayaran penghantaran hadiah atau urusan perjalanan. Akibatnya, permintaan tersebut tidak lagi dilihat sebagai transaksi dengan orang asing, tetapi sebagai bantuan kepada seseorang yang dipercayai.
Penipuan pelaburan pula banyak bergantung pada keterujaan dan harapan untuk memperoleh keuntungan. Perkataan seperti untung, bonus, pulangan, terhad dan peluang istimewa membentuk gambaran bahawa kejayaan boleh dicapai dengan cepat. Testimoni, paparan keuntungan dan cerita kejayaan peserta lain digunakan untuk menguatkan gambaran tersebut. Mangsa dibawa membayangkan hasil yang bakal diterima sebelum sempat menilai risiko sebenar di sebalik tawaran berkenaan.
Sebahagian penipu turut memanfaatkan rasa malu dan bersalah. Mangsa mungkin diberitahu bahawa kegagalan mematuhi arahan akan menyusahkan keluarga, menyebabkan kerugian kepada orang lain atau mendedahkan perkara yang memalukan. Bahasa seperti ini menimbulkan tanggapan bahawa mangsa bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang sebenarnya direka oleh penipu. Tekanan tersebut boleh menyebabkan mangsa terus menurut kerana mahu mengelakkan akibat yang telah digambarkan.
Kaedah ini berkesan walaupun terhadap individu yang berpendidikan dan berpengalaman kerana pengetahuan tentang penipuan tidak semestinya mampu mengatasi tekanan emosi pada saat genting. Rasa panik boleh menyempitkan tumpuan seseorang kepada ancaman yang berada di hadapannya. Apabila anak dikatakan berada dalam bahaya, nasihat keselamatan yang pernah dibaca boleh tenggelam di sebalik rasa takut. Apabila pulangan besar pula dijanjikan, kebimbangan terhadap risiko mungkin diketepikan kerana takut terlepas peluang.
Oleh itu, mangsa penipuan tidak wajar dihina sebagai bodoh atau tamak. Tanggapan seperti itu boleh menghalang mangsa daripada membuat laporan dan berkongsi pengalaman, selain menutup hakikat bahawa penipu sengaja memilih emosi yang sesuai dengan keadaan serta hubungan mangsa. Masyarakat perlu menilai setiap mesej yang mencurigakan dengan memberikan perhatian kepada dua perkara, iaitu emosi yang cuba dicetuskan dan tindakan yang diminta ketika emosi tersebut sedang memuncak.
Jika sesuatu mesej membuatkan kita terlalu takut, terlalu teruja atau terlalu kasihan, perbualan tersebut perlu dihentikan seketika supaya keputusan tidak dibuat mengikut rentak pengirim. Pengesahan hendaklah dilakukan dengan menghubungi pihak yang dikatakan terlibat melalui nombor rasmi atau saluran lain yang sudah diketahui sah, di samping mendapatkan pandangan daripada ahli keluarga atau individu yang dipercayai. Jeda selama beberapa minit boleh mengembalikan pertimbangan yang cuba disekat oleh penipu.
Banyak kempen pencegahan penipuan siber menekankan semakan nombor telefon serta larangan menekan pautan, berkongsi kod pengesahan, mendedahkan maklumat perbankan atau memindahkan wang kepada pihak yang meragukan. Semua nasihat tersebut sememangnya penting, tetapi tanda bahasa yang muncul lebih awal juga perlu diberikan perhatian kerana penipu lazimnya membina emosi dan kepercayaan sebelum meminta wang, kod atau maklumat. Kempen kesedaran seharusnya menunjukkan contoh sebenar ayat ancaman, pujuk rayu, janji keuntungan, desakan masa dan arahan merahsiakan perbualan supaya masyarakat mengetahui tanda yang perlu dikesan sejak awal.
Amaran umum seperti 'jangan mudah percaya' terlalu luas jika masyarakat tidak mengetahui bentuk bahasa yang digunakan untuk memperdaya mereka. Orang ramai perlu memahami bahawa ayat seperti 'jangan beritahu sesiapa', 'buat sekarang', 'nanti saya jelaskan' atau 'ini peluang terakhir' bukan mesej biasa. Dalam konteks tertentu, ungkapan tersebut berfungsi mengasingkan mangsa, mempercepat tindakan dan menghalang proses pengesahan.
Teknologi keselamatan tetap penting, tetapi perlindungan tidak akan lengkap jika masyarakat hanya diajarkan mengenali pautan, nombor telefon atau akaun yang mencurigakan.
Sebahagian besar penipuan bergerak melalui bahasa yang membentuk emosi, mengawal perbualan dan mendorong tindakan. Sebelum memberikan wang, kod pengesahan atau maklumat peribadi, kita perlu mengenal pasti emosi yang sedang dicetuskan serta tujuan di sebalik desakan tersebut.
Penipu mungkin gagal menembusi telefon atau akaun kita secara teknikal, tetapi mereka masih boleh mencapai tujuan apabila bahasa yang digunakan berjaya mengawal ketakutan, harapan, rasa kasihan atau kasih sayang kita.
Maklumat penulis:
Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Dr Muhammad Faizul Abd Hamid
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my