Kerajaan Negeri Selangor kini dalam perancangan menyediakan kemudahan makanan secara percuma, khusus buat kira-kira 70,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negeri itu, menerusi inisiatif khas Nutrisi Selangor (NutriSel) SPM 2026.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hasrat berkenaan, dilaksanakan bagi memastikan kesemua pelajar Tingkatan Lima menerima makanan sewajarnya sepanjang hari peperiksaan, bagi mata pelajaran teras yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi.
"Sepanjang peperiksaan itu, kita akan sediakan makanan pagi atau makanan yang sewajarnya (tengah hari) kepada anak-anak ini, supaya mereka dapat memasuki dewan peperiksaan tanpa halangan serta menambah semangat mereka untuk menjawab soalan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan pek makanan Program Nutrisi Selangor (NutriSel) yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzil Ahmad, di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Seksyen 19, Selangor.
Amirudin berkata, inisiatif khas Nutrisel SPM 2026 itu, merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Program NutriSel yang telah bermula sejak Ogos lepas, bagi menjaga kebajikan serta pemakanan 104,640 pelajar sekolah rendah dan menengah daripada kategori B40, dengan peruntukan melebihi RM12.5 juta.
Beliau berkata, peruntukan bagi program itu, merangkumi sumbangan berjumlah RM7.82 juta daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala RM4.73 juta daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata kerajaan negeri turut mengagihkan roti dan susu kotak secara percuma, menerusi inisiati Mega Nutrisel kepada 993,670 murid di 962 buah sekolah di seluruh Selangor, dengan kerjasama rakan strategik Farm Fresh dan Gardenia.
"Mega Nutrisel akan dilanjutkan sehingga 6 atau 7 Nov, sebelum peperiksaan SPM berlangsung dan diberikan kepada semua pelajar secara sekali pengagihan.
"Peruntukannya tidak sebanyak Nutrisel asas kerana kita mahu meraikan semua pelajar, dengan kawasan Shah Alam sahaja ia merangkumi hampir 125,000 murid," katanya.
Terdahulu, Amirudin dan Ahmad Fadzil diiringi Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Shahzihan Ahmad, mengagihkan pek Program NutriSel kepada 1,321 murid SRAI Seksyen 19 termasuk 37 murid penerima NutriSel asas.
Pelaksanaan kesemua program nutrisi berkenaan digerakkan secara bersama-sama oleh UPEN, PBT, JAIS dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS). - Bernama