Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus mempergiat usaha mengurangkan ketidakhadiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke tahap minimum, meskipun mengakui sasaran sifar sukar dicapai berikutan pelbagai faktor di luar kawalan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, jumlah calon sekolah di bawah KPM yang tidak menduduki peperiksaan itu menunjukkan penurunan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan angka ketidakhadiran dianggarkan berkurangan kira-kira 2,000 calon tahun lepas.
Beliau berkata, walaupun kementerian komited memastikan setiap calon berpeluang menduduki peperiksaan, terdapat keadaan tertentu seperti kemalangan, kematian ahli keluarga, masalah kesihatan dan kekangan peribadi yang boleh menyebabkan calon tidak hadir.
"Tahun ini kalau kita nak kata kosong, itu tidak bolehlah... tapi kita usaha yang terbaik. Sebenarnya banyak faktor, faktor yang kita boleh uruskan macam banjir, kita cuba urus yang terbaik... faktor macam kemiskinan, memang selama ini kita ambil tindakan bagaimana nak bantu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau hari pertama peperiksaan bertulis SPM 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16(1), di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan, Ab Aziz Mamat; Pengarah Pendidikan Putrajaya, Nadimin Abdul Aziz dan Pengetua SMK Putrajaya Presint 16(1), Salleha Salleh.
Mohd Azam berkata, angka ketidakhadiran yang pernah dilaporkan mencecah antara 11,000 hingga 12,000 calon sebelum ini juga perlu dilihat dalam konteks lebih luas kerana turut melibatkan calon persendirian, termasuk mereka yang sudah bekerja.
KPM kini mengambil pendekatan lebih proaktif dengan mengenal pasti murid berisiko tidak menduduki peperiksaan menerusi analisis corak kehadiran ke sekolah seawal tingkatan satu dan tingkatan tiga.
Langkah itu membolehkan pihak sekolah mengenal pasti punca sebenar ketidakhadiran, termasuk kemiskinan, masalah keluarga dan kekurangan motivasi, sebelum intervensi bersesuaian dilaksanakan.
"Kita cari anak-anak kita yang tidak datang sekolah (kita siasat) apa masalah dia. Kalau kemiskinan, kita usahakan apa yang boleh bantu dia supaya boleh datang sekolah. Kita panggil (program) Ziarah Cakna," katanya.
Beliau berkata, usaha itu mula menunjukkan hasil apabila terdapat negeri yang sebelum ini merekodkan antara 800 hingga 900 calon tidak hadir, kini berusaha mengurangkan jumlah berkenaan kepada kira-kira 100 hingga 150 calon.
Sebanyak 420,879 calon mendaftar dijadualkan menduduki SPM 2026 di 3,334 pusat peperiksaan seluruh negara dengan peperiksaan bertulis berlangsung dari 23 Nov hingga 17 Dis ini. - Bernama