Penularan wabak Covid-19 masih lagi menular di Malaysia sehingga kini.
Sepanjang tempoh tersebut, pihak berkaitan terus menjalankan program dan aktiviti kawalan dan pencegahan bagi membendung penularan wabak ini.
Dalam tempoh tiga minggu seterusnya, kes-kes telah merebak ke Thailand, Nepal, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Singapura, Perancis, Vietnam, Malaysia, Australia, Canada, Cambodia, Sri Lanka dan Jerman.
Bagi mengelakkan virus ini daripada terus ‘bermaharajalela’, beberapa perkara perlu dilakukan bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada diri dan juga keluarga.
GPSBestari kongsikan apa yang patut kita lakukan bagi mengekang penularan wabak tersebut.
1) Basuh tangan
Pastikan anda membasuh tangan sekurang-kurangnya untuk tempoh 20 saat, setiap kali mencuci. Penggunaan sabun dan air adalah pilihan terbaik. Namun, gel pembersih tangan dengan kandungan sekurang-kurangnya 60 peratus alkohol juga membantu.
[caption id="attachment_23528" width="267"] Gambar hiasan daripada Pexels.[/caption]
2) Fahami simptomnya
Kebanyakan individu yang positif Covid-19 mengalami beberapa simptom iaitu demam, batuk dan sesak nafas. Justeru, anda digalakkan melihat simptom-simptom ini untuk mencegah ia pada peringkat awal.
3) Lebih penjagaan
Jika anda berusia 60 tahun dan ke atas serta berdepan beberapa masalah kesihatan, pastikan anda melakukan lebih penjagaan. Ini untuk membantu mengekang penularan jangkitan wabak ini. Individu yang tergolong berisiko tinggi ialah golongan dewasa berusia dan mereka yang mengalami penyakit jantung, masalah pernafasan kronik dan diabetes. Mereka memerlukan lebih penjagaan dalam menghindari jangkitan Covid-19.
4) Elakkan perjalanan
Sebaiknya jika tidak penting atau bukan melibatkan masalah perubatan, elakkan daripada melakukan perjalanan sama ada ke luar negara mahupun tempat yang berisiko walaupun hanya antara negeri atau daerah.
5) Kawalan diri
Jika anda mahupun ahli keluarga tidak sihat, sebaiknya lakukan kuarantin selama 14 hari, ia antara cara mencegah virus ini daripada menular. Pastikan anda mempunyai bekalan makanan, ubatan dan keperluan diri yang mencukupi sepanjang tempoh tersebut.
6) Jarak sosial
Sukar untuk memastikan sama ada seseorang individu itu mempunyai simptom jangkitan atau tidak, bukan? Jadi langkah terbaik adalah amalkan penjarakan sosial sebagai cara mengelak Covid-19.
7) Utamakan kesihatan
Pastikan anda mengamalkan diet pemakanan seimbang dan cuba untuk bersenam, walaupun dengan hanya naik turun tangga di rumah.
[caption id="attachment_23529" width="600"] Gambar hiasan daripada Pexels.[/caption]
8) Ikut protokol
Jika mempunyai simptom seperti demam, batuk dan juga masalah pernafasan, lakukan pemeriksaan segera. Jangan terus pergi ke hospital kerana, ia adalah tindakan tidak bertanggungjawab. Sebaliknya, hubungi hospital atau pusat perubatan berhampiran dan fahami protokol penyakit menular yang perlu diikuti. Ia adalah satu cara membendung penularan dan menghindari jangkitan Covid-19 kepada individu lain.
9) Tabiat ketika bersin, batuk
Ketika bersin atau batuk, tutup dengan bahagian siku atau gunakan tisu dan buangkannya selepas digunakan. Ia bukanlah sekadar satu amalan untuk mengekang penularan wabak semata-mata, tetapi ia adalah tabiat yang harus menjadi amalan setiap masa.
10) Penggunaan topeng muka
Pakai topeng muka sepanjang masa. Ini membantu mengelakkan individu lain daripada turut dijangkiti wabak yang sama.
11) Kebersihan rumah
Pastikan setiap ahli keluarga anda tahu cara penjagaan kebersihan yang betul. Berdasarkan kajian, virus ini boleh hidup pada permukaan untuk tempoh berjam-jam malahan sehingga beberapa hari.