Agong bangga dengan pencapaian Cikgu Sam. Ini ucapan baginda kepada guru SK Runchang ini

Iklan
Agong bangga dengan pencapaian Cikgu Sam. Ini ucapan baginda kepada guru SK Runchang ini
KUALA LUMPUR - Kejayaan guru bahasa Inggeris Samuel Isaiah dari Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah, Pahang yang dipilih sebagai 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020 mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.Seri Paduka menzahirkan ucapan tahniah serta sukacita dan bangga atas dedikasi serta usaha murni guru muda dari Kuantan, Pahang itu dalam mendidik murid-murid sehingga terpilih sebagai calon untuk menerima anugerah tersebut, sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa."Seri Paduka Baginda turut mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan mendoakan semoga beliau memenangi anugerah tersebut serta dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dalam bidang pendidikan," katanya menerusi kenyataan Istana Negara, semalam.Menurut kenyataan penganjur Yayasan Varkey di London, Samuel yang lebih mesra dipanggil Cikgu Sam dipilih daripada 12,000 pencalonan daripada lebih 140 negara. Samuel telah memperkenalkan pelbagai inovasi bagi memberi inspirasi kepada muridnya yang terdiri daripada Orang Asli, untuk menyimpan impian besar serta berusaha menghubungkan mereka ke dunia luar.Antara program diperkenalkan Samuel ialah projek pertukaran e-mel dikenali sebagai 'Asli E-Pal', dan murid-murid boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan sukarelawan yang lebih dewasa dari dalam dan luar negara.Samuel juga memperkenalkan program 'Speak Up With Poetry' (Bersuara dengan Puisi) iaitu projek kerjasama beliau dengan penyair amatur yang menulis puisi berkaitan kebudayaan Orang Asli dan kemudiannya murid-murid boleh menonton program itu dalam bentuk video untuk pembelajaran bahasa Inggeris. Samuel dinobatkan sebagai penerima anugerah Guru Adiwira 2019 - BERNAMA