Pelajar perlu divaksin sebelum sekolah dibuka - Rina Harun

Iklan
rina harun
SERI ISKANDAR - Pelajar khususnya berumur 12 hingga 17 tahun perlu divaksin sebelum sesi persekolahan dijadual dibuka pada 1 September ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.Beliau berkata saranan itu sejajar dengan peningkatan jumlah kes dan penularan Covid-19 ketika ini, yang tidak mengenal mangsa termasuk kanak-kanak dan pelajar sekolah, justeru beliau berharap pihak berwajib dapat melaksanakan proses vaksinasi tersebut secepat mungkin."Harus kita ingat, kanak-kanak dalam kumpulan ini masih bersekolah. Jadi diharap mereka dapat diberi vaksin sebelum atau ketika sekolah dibuka dengan kerjasama Kementerian Pendidikan," katanya selepas melawat Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar, kira-kira 45 kilometer dari Ipoh, baru-baru ini.Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan, kerajaan akan melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak dan remaja berumur 12 hingga 17 tahun mulai 15 September ini.Menyentuh perkara sama, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, vaksinasi itu akan dimulakan mengikut keutamaan iaitu remaja yang mempunyai masalah kronik diikuti tanpa masalah perubatan dan berdasarkan penurunan umur.Pada 17 Julai lepas, Kementerian Pendidikan membuat ketetapan bahawa, sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka mulai 1 September ini.Dalam pada itu, Rina berharap ibu hamil dengan kandungan 14 hingga 33 minggu, akan terus diberikan keutamaan untuk mendapatkan vaksin di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negara. Mengenai program hari ini, beliau berkata pihak kementerian telah menyumbangkan RM494,400 kepada badan bukan kerajaan, Pertubuhan Restu Amal Jasa Malaysia dalam memastikan pelaksanaan Projek Rintis Penyumberan Luar (ASD) di Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar, berjaya direalisasikan.Katanya, program julung kali diadakan ini merupakan kerjasama strategik antara kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dalam memfokuskan strategi baharu serta perkongsian amalan terbaik bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan, khususnya membabitkan warga emas. Beliau berkata pihaknya juga berharap program yang akan dijalankan selama enam bulan bermula September depan itu, dapat meningkatkan kualiti dan perkhidmatan penjagaan terhadap 103 warga emas yang berada di institusi berkenaan."Kita akan lihat keberkesanan projek ini. Jika berjaya dan bertepatan dengan matlamat asal ASD diadakan, maka kita akan perluaskan di rumah seri kenangan ataupun di institusi lain di negara ini," katanya. - BERNAMA