Hasil bimbingan guru ini, murid sekolah luar bandar dipilih bentang Projek Save the Earth di Itali
Hasil bimbingan guru ini, murid sekolah luar bandar dipilih bentang Projek Save the Earth di Itali

Hasil bimbingan guru ini, murid sekolah luar bandar dipilih bentang Projek Save the Earth di Itali

webadmin
09 Dec 2019 03:50am
A
A
A

Rezeki tidak pernah salah alamat, itu yang dapat digambarkan buat sosok tubuh Guru Edufluencer bernama Saifulnizan Che Ismail. Guru subjek Matematik serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sekolah Kebangsaaan (SK) Raja Bahar, Kota Bharu, Kelantan itu tidak menyangka usahanya terlibat secara aktif dengan inovasi pada tahun 2017, membuahkan hasil apabila pencapaian demi pencapaian diraih oleh guru asal Kelantan itu.

Lebih mengagumkan, guru yang sudah berkhidmat selama 10 tahun itu turut terpilih untuk membawa pasukannya membentangkan kempen kesedaran menjaga dan melestarikan alam sekitar menerusi Projek Save the Earth di I Can Global Children’s Summit di Rom, Itali pada 26 hingga 30 November 2019 lalu.

Pasukan DFC SK Raja Bahar selamat tiba di Rom, Itali disambut oleh wakil kedutaan Malaysia, Ahmad Zamri Rabaiee (tengah)

Sebanyak 12 pasukan yang dinamakan Design for Change (DFC) Malaysia telah terpilih untuk mempertaruhkan inovasi masing-masing di sana. Daripada 12 guru pengiring itu, Cikgu Saifulnizan, satu-satunya guru pengiring lelaki dari Malaysia.

“Saya mencipta bahan bantu mengajar (BBM) untuk membantu murid memahami konsep mengira luas bentuk segi tiga secara didik hibur yang dinamakan Inovasi ‘DamLU’.

Pasukan DFC Raja Bahar ketika sesi soal jawab berkenaan projek Save the Earth

"Menerusi inovasi inilah saya dianugerahkan Johan Guru Inovatif peringkat negeri Kelantan pada tahun 2017," katanya.

Pada tahun berikutnya, beliau dinobat Naib Johan Guru Inovatif peringkat kebangsaan pula menerusi ciptaan BBM yang dinamakan Papan Serbaguna Eksplorasi Nombor.

Kata beliau, Papan Serbaguna Eksplorasi Nombor membantu murid memahami konsep nombor dengan lebih mudah dan secara didik hibur.

Pun begitu, usaha guru lulusan Universiti Teknologi Malaysia dan Institut Pendidikan Guru Teknik (Matematik) ini untuk memandaikan anak bangsa tidak terus terhenti di situ.

Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Zuriah Muhammad (kiri), Cikgu Saifulnizan (dua dari kiri) bersama pasukan DFC Raja Bahar dan  DFC dari Chile

Pada tahun 2019, beliau sekali lagi mencipta BBM iaitu  inovasi i2K  yang berfungsi untuk membantu murid memahami konsep isipadu kubus dan kuboid secara penyiasatan.

Menerusi inovasi tersebut, pemilik anugerah Johan Southeast Asia Mathematics Teaching and Learning Model, di Yogyakarta, Indonesia itu telah memenangi banyak anugerah dan pengiktirafan di dalam dan luar negara.

Lima adiwira DFC SK Raja Bahar bergambar di Musei Capitolini

Antara kenangan manis yang tidak boleh dilupakan beliau, inovasi i2K yang dipertandingkan di peringkat Asia Tenggara itu berjaya mendapat tempat pertama dan beliau diberi peluang melaksanakan PdPc itu di Sekolah Dasar Budi Mulia di Yogyakarta, Indonesia pada 15 November 2019 lalu.

Jika dibandingkan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) secara tradisional dengan PdPc yang menggunakan inovasi, Guru Cemerlang Matematik ini melihat murid-murid lebih teruja ketika belajar di dalam bilik darjah apabila menggunakan inovasi pembelajaran.

Fawziah (kanan) turut sama ke Rom untuk memberi semangat kepada pasukan DFC SK Raja Bahar

“Melalui inovasi PdPc Kefahaman konsep dan minat mereka terhadap Matematik juga bertambah. Aktiviti ikuiri penemuan di dalam Matematik menjadikan sesi pembelajaran lebih bermakna kerana setiap murid diberi peluang untuk belajar menerusi aktiviti penyiasatan dan penerokaan untuk memperkukuhkan konsep Matematik.

“Melalui tiga inovasi pembelajaran Matematik yang diperkenalkan, saya dapati persepsi takut terhadap Matematik dapat dikikis apabila kita mengetengahkan pembelajaran yang menyeronokkan dengan mengambil kira kecerdasan pembelajaran murid di dalam bilik darjah,” katanya.

Cikgu Saifulnizan berkata, selain daripada inovasi pembelajaran Matematik yang telah disebarluaskan melalui media massa, beliau juga adalah penggerak utama membudayakan inovasi digital di SK Raja Bahar.

Murid bergotong-royong mengecat dan mencantikkan ruang projek Save the Earth

Pada tahun 2018, sekolah SK Raja Bahar telah mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) dan Perbadanan Ekonomi Malaysia Digital (MDEC) untuk menubuhkan Sekolah Hub Digital Maker.

Fungsi Sekolah Hub Digital Maker adalah untuk berkongsi ilmu inovasi digital seperti pengaturcaraan, robotik, fotografi kepada sekolah berhampiran.

“Kebiasaannya bilik hub digital maker ini dibuka pada waktu sesi kokurikulum dan kelab robotik yang menggunakan bilik ini, sejak penubuhannya minat murid terhadap mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) turut meningkat,” katanya.

Murid bersama tanaman herba yang diusahakan di sekolah

Bimbing lima murid

Selain menghasilkan inovasi yang menjurus kepada masalah pembelajaran murid di dalam bilik darjah, Cikgu Saifulnizan turut memilih dan membimbing lima murid iaitu Nur Hatiqah Umairah Akazi, Nur Hafizza Husna Mat Hasimi, Nur Awatif Inani Abdullah, Farhanis Akhtar Ghazali dan Nur Aisyah Syakirah Saifulnizan untuk projek DFC di luar bilik darjah, sebagai tanda sokongan kepada sasaran pembangunan mapan.

“Projek yang dinamakan Save the Earth ini merupakan kempen kesedaran mengenai kepentingan menjaga dan melestarikan alam sekitar. Alhamdulillah projek tersebut telah berjaya dipilih antara 10 utama projek terbaik di Malaysia, menewaskan 94 pasukan lain dari seluruh negara," katanya kepada GPS Bestari.

Murid melakukan aktiviti hands-on penyiasatan bagi membuktikan formula mencari isipadu kuboid dengan menggunakan inovasi i2K

Beliau berkata, kebanyakkan penyertaan dalam projek tersebut adalah dari sekolah berasrama penuh dan berprestasi tinggi.

"Apabila pasukan sekolah kami terpilih untuk membentangkan projek di I Can Global Children’s Summit di Rom, Itali pada 26 November lalu, kami sangat gembira ia membuktikan sekolah luar bandar juga mampu bersaing dengan sekolah yang hebat," jelas beliau.

Terangnya lanjut, DFC, I Can Save the Earth bermula setelah menyertai bengkel DFC pada April 2019.

Murid menggunakan telefon pintar untuk menyemak jawapan mereka dengan menggunakan teknologi Augmented Reality

Ketika itu beliau telah telah menghantar lima murid menyertai bengkel tersebut. Menerusinya, murid-murid didedahkan dengan kerangka kerja FIDS, iaitu Feel, Imagine, Do dan Share untuk menjalankan projek mereka.

“Setelah berbincang dengan lima murid saya, kami bersetuju untuk mengatasi masalah pemanasan global 'Sustainable Development Goals 13: Climate Action' yang menjadi isu besar kepada seluruh dunia.

“Saya memberi peluang kepada mereka untuk merancang aktiviti bagi menjayakan projek ini. Antaranya, satu kelas satu pokok, taman herba, pertandingan mewarna, mural the peace wall, info pokok herba melalui Kod QR dan permainan 2D menggunakan perisian Scratch,” katanya.

Tambah beliau, projek tersebut bermula pada awal Mei lalu dan turut mendapat liputan media.

Murid membuat aktiviti konsep nombor bulat, dengan cara menyusun penutup botol yang mempunyai nombor dengan betul mengikut nilai tempat setiap digit

Cabaran

Di sebalik manisnya pencapaian, pasti ada cabaran dan halangannya.

Antara cabaran yang terpaksa dilalui oleh beliau dan pasukannya adalah kekangan masa, idea dan kewangan.

Tambahnya, beliau juga perlu menyakinkan pihak sekolah mengenai keberhasilan dan kemenjadian murid melalui projek yang akan dilakukan.

Individu penting yang banyak menyokong dan berkongsi idea ialah Guru Besar, Muhammad Shaufi Abdullah.

Murid bermain dam yang dicipta Cikgu Saifulnizan untuk mengira luas bentuk segi tiga.

“Bukanlah mudah untuk realisasikan impian ke Rom, lebih-lebih lagi masalah kewangan untuk menampung pembiayaan kami ke sana. Namun, ALLAH hadirkan insan-insan hebat untuk membantu kami.

“Pengarah Urusan Sri Utama International School, Datuk Fawziah Abdul Karim bersetuju untuk memberikan sumbangan dan membiayai tambang penerbangan pergi dan balik dari Kuala Lumpur, Doha ke Rom. Malah, pada saat-saat akhir juga kami mendapat tajaan pergi balik penerbangan Kota Bharu ke Kuala Lumpur dari Air Asia,” terangnya.

Dari kiri: Hatiqah, Hafiza Husna, Nur Aisyah Syakirah, Farhanis dan Nur Awatif

Berbicara lanjut mengenai I Can Global Children’s Summit, lebih 40 buah negara dan 2,000 adiwira dari seluruh dunia berkampung di Rom.

“Di sana pasukan DFC SK Raja Bahar telah bertemu dengan pasukan dari Chile, Israel, Itali dan Amerika Syarikat. Pada hari tersebut, sebanyak tiga pasukan telah membentangkan projek masing-masing, Malaysia ('Save the Earth'), Israel ('To See the Voice and Catch the Light') dan Chile ('Traffic Respect and Order').

Ini merupakan salah satu ruang atau sudut di dalam bilik hub digital maker SK Raja Bahar

“Pasukan DFC SK Raja Bahar menjadi pasukan pertama yang membuat pembentangan. Pada awalnya memanglah agak gemuruh, namun saya gembira mereka berjaya menjawab dengan baik soalan yang diberikan,” katanya.

Katanya, ia bukan sekadar membuat pembentangan, tetapi juga sebagai peluang untuk mengeratkan perpaduan antara peserta dari setiap negara.

Menariknya, setiap negara perlu menyanyi lagu yang melambangkan setiap negara dan DFC SK Raja Bahar memilih untuk menyampaikan lagu 'Rasa Sayang' di sana.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan