KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu bersifat lebih terbuka dan mula beralih kepada penggunaan sistem teknologi moden dalam pelbagai bidang khususnya dalam sistem pendidikan negara bagi memberi anjakan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran di negara ini.
Dalam sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini, Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) berkata ketika ini terdapat banyak teknologi moden yang boleh membantu dan memudah cara pengajaran agar lebih efektif, namun ia tidak digunakan.
Bekas Perdana Menteri itu menarik perhatian bahawa beliau sendiri mempelajari banyak perkara hanya melalui YouTube yang menawarkan pelbagai kandungan dan bahan pelajaran yang disampaikan pakar.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan ketika ini terdapat kemudahan untuk merakam pelbagai jenis ilmu yang boleh dimainkan berulang kali, dengan kerja guru boleh menjadi lebih mudah dengan hanya perlu mengendalikan bahan itu.
Bagaimanapun katanya, walaupun terdapat beberapa syarikat telah memperkenalkan kaedah baharu itu, namun malangnya kebanyakannya ditolak dan menyaksikan kebergantungan terhadap guru masih lagi tinggi.
"Kalau dulu ilmu sedikit sudah cukup, tapi sekarang ini kita perlu lebih banyak terutama di zaman teknologi maklumat, artificial intelligence (kecerdasan buatan) dan sebagainya yang memerlukan banyak ilmu dalam bidang sains dan teknologi,” katanya. - BERNAMA