Tidur awal pada waktu malam adalah satu amalan sihat yang boleh dilakukan oleh guru-guru supaya badan lebih segar apabila memulakan rutin harian pada esok hari.
Meskipun begitu, ramai antara kita yang tidak dapat tidur awal kerana banyak faktor mempengaruhi termasuklah tanggungjawab terhadap kerja atau keluarga yang menuntut terlalu banyak masa sehingga terpaksa tidur lambat.
Ada juga yang tidak boleh tidur awal kerana menghadapi beberapa gangguan tidur atau masalah kesihatan seperti insomnia atau kegelisahan.
Namun, tabiat ini sebenarnya perlu dihentikan kerana akan mengundang pelbagai masalah lain seperti yang telah GPSBestari kongsikan pada minggu lalu.
Untuk itu, hari ini kami kongsikan beberapa kaedah yang boleh dilakukan bagi mengatur semula rutin tidur agar lebih teratur serta membantu untuk melatih badan supaya dapat tidur dengan lebih awal.
[caption id="attachment_27878" width="600"] Gambar hiasan kredit unsplash[/caption]
1. Lakukan aktiviti yang boleh menenangkan minda.
Di bawah ini, kami sediakan senarai-senarai aktiviti yang boleh menenangkan minda yang boleh anda lakukan.
a. Mandi dengan air suam.
Mandi merupakan antara perkara yang boleh dilakukan bagi membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi sepanjang hari. Terdapat juga beberapa kajian yang menunjukkan bagaimana perkara ini mampu merendahkan suhu badan dan yang pastinya ia membantu membuatkan seseorang tidur dengan lebih cepat.
b. Meditasi.
Melakukan meditasi sebelum tidur boleh mengurangkan"anxiety” yang mungkin menyebabkan susah untuk terlelap dan mengurangkan gangguan untuk tidur.
c. Membaca.
Membaca juga merupakan antara cara yang baik untuk menenangkan minda dan menyebabkan rasa mengantuk timbul. Namun, pastikan bahan bacaan tersebut merupakan bahan bacaan ‘tradisional’ dan bukannya ‘digital’ seperti tablet yang mungkin akan membuatkan mata menjadi segar.
d. Dengar muzik
Muzik yang menenangkan juga membantu melelapkan mata. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa mendengar muzik dapat membantu menenangkan minda dan meningkatkan kualiti tidur.
e. Kurangkan penggunaan telefon sebelum tidur
Penggunaan telefon sebelum tidur boleh menyebabkan mata terus menjadi segar dan menyebabkan masa yang lebih lama diperlukan untuk tidur.
[caption id="attachment_27879" width="600"] Gambar hiasan kredit unsplash[/caption]
2. Jadual tidur yang konsisten
Sekiranya anda tidur pada waktu yang berlainan setiap hari, pastinya sukar untuk tidur lebih awal. Bangun dan tidur pada waktu yang sama setiap hari membantu badan anda membuat runtin tidur untuk badan.
Tidur siang terlalu lama boleh mengganggu waktu tidur di malam hari. Oleh itu, sekiranya anda ingin tidur lebih awal, elakkan aktiviti tidur di siang hari.
3. Lakukan senaman
Kajian menunjukkan bahawa melakukan senaman secara teratur akan membuatkan kualiti tidur menjadi lebih baik. Namun, jangan pula buat senaman yang berat sebelum masuk tidur. Senaman berat yang dilakukan sebelum waktu tidur mungkin akan menghilangkan rasa mengantuk dan mengurangkan waktu tidur secara keseluruhan.
Sekiranya ingin bersenam sebelum tidur, hanya lakukan senaman berintensiti rendah.
4. Mewujudkan persekitaran yang menenangkan di bilik tidur
Tip tidur sihat yang lain adalah memastikan bilik berada dalam suasana yang kondusif. Terdapat banyak langkah yang boleh dilakukan untuk mewujudkan persekitaran bilik tidur yang selesa. Antaranya ialah :-
a. Pastikan bilik dalam keadaan gelap: Semua cahaya yang muncul boleh membuatkan rasa mengantuk tidak datang. Gunakan langsir yang tebal untuk menghalang cahaya matahari atau lampu jalan dari memasuki bilik. .
b. Kurangkan pencemaran bunyi: Ruang yang tenang sudah semestinya akan membuatkan kualiti tidur menjadi lebih baik. Boleh gunakan penutup telinga untuk menyekat bunyi-bunyi bising yang datang dari luar.
c. Hanya gunakan bilik tidur untuk tidur: Elakkan membawa kerja-kerja yang belum siap masuk ke bilik tidur.
[caption id="attachment_27880" width="600"] Gambar hiasan kredit unsplash[/caption]
5. Elakkan kafein
Walaupun secawan kopi pada waktu siang dapat memberi dorongan yang diperlukan untuk menyiapkan sesuatu kerja, ia juga dapat membuat seseorang terjaga pada waktu malam. Disyorkan untuk mengelak daripada meminum kopi, teh, dan minuman tenaga dalam tempoh masa empat hingga enam jam sebelum tidur.
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda mendapatkan semua tidur yang berkualiti.
Sumber: sleepfoundation.org/