Beberapa hari lalu nasib 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terlibat dalam kematian Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lalu telah ditentukan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Enam daripada mereka dijatuhi hukuman penjara 18 tahun selepas didapati menyebabkan kematian tanpa niat, manakala selebihnya didapati bersalah di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana mencederakan Allahyarham.
Kita harus mengakui budaya buli ini berlaku dalam kalangan pelajar yang tinggal di asrama sama ada di peringkat rendah, menengah dan universiti adalah agak tinggi.
BACA JUGA: Bentuk pewaris bola sepak negara. Zaquan Adha sarankan mula latihan seawal usia
BACA JUGA: 8 Aplikasi yang boleh membantu anda menjadi seorang pelukis
Apa yang menakutkan, kes seumpama ini bukan kali pertama berlaku. Terdapat banyak lagi kes-kes buli sehingga menyebabkan kematian pelajar berlaku di institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti.
Kali ini GPSBestari kongsikan empat kes buli yang menyebabkan kematian supaya menjadi iktibar kepada semua sekali gus mengelakkan perkara sama berulang.
1. Muhammad Farid Ibrahim (2004)
Kejadian melibatkan pelajar di Sekolah Menengah Agama Datuk Klana Petra Maamor, Ampangan, Negeri Sembilan - Seorang pelajar bernama Muhammad Farid Ibrahim yang berusia 16 tahun didapati meninggal dunia selepas dibelasah beramai-ramai oleh lapan orang pelajar lain. Kesemua mereka didapati bersalah dan dikenakan hukuman penjara oleh mahkamah.
Kisah kejadian ini agak sadis bunyinya. Mangsa dikatakan diikat tangan dan kakinya selepas berlaku pertengkaran di antara dia dengan kumpulan senior melibatkan pinjaman barang. Selepas dibelasah, kumpulan senior tadi mendapati keadaan Farid agak longlai. Jadi mereka menukarkan pakaiannya sebelum pergi bertemu warden, melaporkan Farid telah jatuh dalam bilik air.
Bagaimanapun, selepas Farid dikejarkan ke hospital dan didapati kesan-kesan cedera yang ada mustahil boleh berlaku hanya kerana terjatuh. Terdapat juga pendarahan dalam bahagian otak Farid yang menyebabkan dia pengsan sebelum meninggal dunia tidak lama selepas sampai di hospital.
Lapan pelajar yang dibicarakan didapati bersalah namun terlepas hukuman gantung sampai mati, dipenjarakan di Penjara Kajang. Dalam perbicaraan yang dijalankan, kelapan-lapan suspek didapati cuba melindungi sesama mereka dan tidak ada satu orang pun mahu mengakui apa yang berlaku. Salah seorang bapa suspek juga bertindak mengeluarkan kenyataan palsu mencipta alibi tanpa bukti, semata-mata mahu melindungi anaknya yang dirasuk syaitan.
2. Mohd Shahrizal Mohd Shaffie (2008)
Dalam kes yang melibatkan golongan dewasa pula, Mohd Shahrizal yang merupakan seorang tentera berpangkat prebet didapati meninggal dunia selepas dibuli dan dibelasah oleh tujuh orang tentera lain. Mohd Shahrizal didakwa tidak cukup jantan untuk menjadi seorang askar serta tidak pandai melipat pakaian, menyebabkan dia yang pada ketika itu berusia 27 tahun dijadikan sasaran pembuli di kem tentera.
Mohd Shahrizal dikatakan ditumbuk, disepak dan kepalanya dihentak dengan objek kayu serta dipijak dengan but sukan, yang menyebabkan dia pengsan sebelum meninggal dunia pada 5 April 2008. Bedah siasat mendapati punca kematian Mohd Shahrizal adalah akibat hentakan objek tumpul ke tubuh.
Tujuh suspek mengaku bersalah menyebabkan kematian tanpa niat membunuh ke atas Mohd Shahrizal dan dikenakan hukuman penjara tujuh tahun setiap seorang pada tahun 2010.
3. Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri (2010)
Kematian adik Mohammad Naim yang ketika kejadian berusia 16 tahun, memang satu tragedi malang sekali untuk dirinya. Salah seorang pelajar di Maktab Tentera Diraja (MTD), Mohammad Naim menjadi sasaran sekumpulan pelajar senior yang membulinya sejak sesi persekolahan bermula.
Ikuti GPSBestari di twitter dan Instagram
Bagaimanapun, pada 24 Jun 2010, Naim yang didakwa dibelasah pelajar senior tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Angkatan Tentera Kem Sungai Besi, yang terletak tidak jauh dari MTD. Sekitar jam 10.45 malam, Naim dipaksa melakukan tekan tubi sambil diterajang senior yang memerhati.
Punca kematiannya dikatakan disebabkan oleh gegaran yang berlaku pada bahagian kepalanya, selepas dia jatuh ditendang salah seorang pelajar senior semasa kejadian tersebut. Lima orang pelajar ditahan bagi membantu siasatan dengan empat daripadanya dihukum buang sekolah terlebih dahulu. Komandan MTD semasa kejadian juga telah dipindahkan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang lagi.
4. Jackson Nuing Awe (2017)
Sebuah sekolah berasrama di Kapit menyaksikan peristiwa duka selepas seorang pelajar Tahun 1 bernama Jackson Nuing Awe meninggal dunia akibat dibelasah. Pelakunya pula adalah seorang pelajar Tahun 6 berusia 12 tahun. Kejadian berlaku pada 24 Ogos 2017.
Pihak sekolah yang mendapati keadaan Jackson agak kritikal, terus mengejarkan beliau ke Hospital Sibu. Kanak-kanak itu didapati mengalami pendarahan teruk pada bahagian kepala serta kesan-kesan lebam di seluruh tubuhnya. Suspek ditahan sebelum dibebaskan kerana perlu menghadiri ujian UPSR yang akan dilangsungkan tidak lama selepas kejadian tersebut.
Apa yang menyedihkan, punca kejadian ini berlaku disebabkan pelajar Tahun 6 itu yang dikatakan berang kerana Jackson mengejek nama ayahnya.
Semoga kita mengambil pengajaran tentang apa yang telah berlaku. Ingat, hindari perbuatan buli kerana tiada yang baik akan diperoleh daripadanya.
S: iluminasi.com