portal-zaquan3
portal-zaquan3

Bentuk pewaris bola sepak negara. Zaquan Adha sarankan mula latihan seawal usia

Mariatul Qatiah Zakaria
01 Nov 2021 05:51pm
A
A
A

Menyarung jersi bernombor 8, dan bertanggungjawab di posisi penyerang, siapa tidak kenal pemain Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC), Mohamad Zaquan Adha Abd Razak.

Pemain berusia 34 tahun yang sebelum ini pernah berkelana di beberapa negeri merupakan penyerang cukup digeruni pihak lawan.

Kelincahan mengelecek serta mengawal bola di padang membuatkan kemahiran anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan, ini sentiasa ditagih jurulatih untuk beraksi bersama pasukan mereka.

Disebabkan itu jugalah, tidak hairan apabila bapa kepada lima orang cahaya mata ini pernah beraksi untuk memperkuatkan jentera serangan skuad Harimau Malaya.

Berpeluang berbicara bersamanya baru-baru ini, membolehkan Sinar Bestari menyorot kembali penglibatan awal di dalam sukan yang cukup popular dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia tanpa mengira umur dan jantina.

Memberitahu dia begitu meminati sukan tersebut sejak dari kecil, Mohamad Zaquan atau lebih dikenali dengan Zaquan Adha tidak pernah membiarkan bakat dalam sukan bola sepak terpendam begitu sahaja.

Aktif seawal umur lapan tahun, Zaquan Adha memulakan penglibatan dengan mewakili sekolah kemudian negeri dan akhir sekali kebangsaan (Malaysia).

“Saya telah didedahkan dengan sukan bola sepak ini sejak dari kecil kerana sering mengikuti abang pergi berlatih.

“Dari situlah timbulnya minat dan mula ceburi sukan ini sejak di sekolah rendah dan terus aktif sehingga hari ini.

“Alhamdulillah, keluarga merupakan penyokong kuat  dan mereka sentiasa ada untuk memberi semangat,” ujarnya.

Bagaimanapun, kejayaan Zaquan Adha di arena sukan bola sepak bukanlah diraih dalam sekelip mata kerana untuk berada di tahap sekarang memerlukan dia berkorban banyak perkara.

Antaranya dia terpaksa melupakan kehidupan zaman kanak-kanak kerana perlu menjalani latihan seperti yang telah dijadualkan.  Dek kerana kegigihan itu jugalah dia tersenarai dalam pasukan kebangsaan ketika berusia 14 tahun.

Kemahiran

Bercakap mengenai kemahiran pula, tutur anak bongsu daripada tujuh adik beradik ini, dalam sukan bola sepak, kemahiran asas perlu diketahui pemain dari peringkat awal lagi.

Menurutnya, ia adalah perkara penting penentu kejayaan dalam pembangunan sukan bola sepak itu sendiri di samping melahirkan pemain berkualiti tinggi untuk masa depan.

“Apabila kita bercakap mengenai kemahiran dalam bola sepak, ia sebenarnya adalah gabungan bersama dengan bakat.

“Kedua-duanya merupakan elemen penting untuk seseorang itu menjadi pemain yang bagus dan ia juga perlu disusuli dengan minat serta semangat.

“Insya-ALLAH, sekira kesemuanya digabungkan, kita boleh pergi jauh malah ia akan menjadi satu kerjaya hebat,” tuturnya lanjut.

Sambung Zaquan Adha, hari ini dalam apa juga bidang yang diceburi, sekiranya tiada kemahiran yang baik, kita tidak akan berjaya.

Kemahiran dan bakat, dua elemen penting yang diperlukan dalam pembangunan sukan bola sepak.

Akademi bola sepak

Disebabkan alasan itu jugalah, Zaquan Adha telah membuka Kelab Bola Sepak S2FC untuk memberi peluang kepada anak-anak kecil yang berminat dalam sukan bola sepak mengasah dan menajamkan lagi bakat serta kemahiran sedia ada.

Baginya, dalam kelab tersebut anak-anak ini akan diberikan tumpuan kepada kemahiran teknikal seperti kepantasan atau kelajuan (pergerakan) dan juga aspek lain seperti pemikiran pantas untuk membuat keputusan.

“Kualiti kemahiran (individu) harus dibentuk dari kecil dan dengan adanya pendedahan sebegini secara tidak langsung sukan bola sepak mempunyai pelapis yang dapat ketengahkan satu hari nanti.

“Saya percaya sekiranya pemain cilik yang sedia ada hari ini diberikan pendedahan terbaik, tidak mustahil kita akan dapat melahirkan pemain bertaraf antarabangsa.

“Dengan adanya kelab dan juga akademi bola sepak ini, sekurang-kurangnya kita dapat memberikan anak-anak kecil ini peluang dan ruang untuk membuktikan mereka adalah pewaris bola sepak negara,” katanya lagi.

Untuk itu tuturnya, ibu bapa seharusnya menyokong dengan minat anak-anak dan jangan memaksa mereka melakukan sesuatu yang tidak disukai.

Sehubungan itu jugalah, Zaquan Adha tidak pernah halang minat anak sulung dan anak keduanya untuk aktif dalam sukan bola sepak ini.

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? Nampaknya bakat bola sepak Zaquan Adha telah diwarisi anak-anaknya.

Zaquan Adha, kini merupakan penyerang Negeri Sembilan.

PROFIL

Nama: Mohamad Zaquan Adha Abd Razak

Umur: 34 tahun

Tempat lahir: Seremban, Negeri Sembilan

Posisi: Penyerang

Nombor jersi: 8

Pasukan: Negeri Sembilan

PASUKAN DAN KEJAYAAN

Mula bermain dengan skuad remaja Malaysia seawal 16 tahun

Tersenarai dalam pasukan Negeri Sembilan untuk kejohanan Piala Presiden dan Sukan Malaysia (SUKMA) ketika berusia 18 tahun

Menjadi penjaring kedua terbanyak Negeri Sembilan pada musim 2007/2008 dengan 11 gol

Negeri Sembilan (2006 hingga 2011), membantu pasukan menjulang beberapa trofi seperti Liga Super 2006, Piala Malaysia 2009 dan 2011 serta Piala FA 2010.

Bersama pasukan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM FA) pada 2012

Johor Darul Ta’zim (JDT) 2013

Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dari 2014 hingga 2016

Perak, 2017

Kuala Lumpur (Kuala Lumpur FA), 2018

Kedah, 2019

Artikel berkaitan 

(VIDEO) Guru ‘unboxing’ pencukur rambut, beri amaran buat pelajar

Anak kelahiran Muar, Florence Tan dilantik Timbalan Ketua Juruteknologi di Nasa, inspirasi kepada pelajar bidang kejuruteraan

“Saya dah siapkan kerja sekolah cikgu, tapi…”– Air mata warganet tumpah!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok