Keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2021 yang menggunakan Modul Penilaian Kelas KAFA (MPKAFA) telah pun diumumkan secara dalam talian baru-baru ini.
Menerusi keputusan tersebut, ramai ibu bapa dan guru melahirkan rasa gembira kerana anak dan murid mereka berjaya mencipta kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.
Kata ibu, bapa dan cikgu, mereka yang berusaha dengan bersungguh-sungguh pastinya akan menemui kejayaan yang diimpikan.
Namun begitu, bagaimana dengan murid yang tidak mendapat keputusan peperiksaan yang diinginkan iaitu 8A, 7A atau 6A?
Adakah mereka tidak layak untuk berkongsi keputusan yang ‘biasa-biasa’ itu dengan yang lain?
Ustazah Asma' Harun, melalui laman Facebook memuat naik perkongsian mengenai peperiksaan UPKK yang diduduki oleh murid Tahun Lima dan Tahun Enam 2021.
Kata beliau, apa jua keputusan peperiksaan yang diterima oleh anak-anak, peluk dan ucaplah tahniah buat mereka.
Sebagai panduan untuk kita bersama, GPSBestari sertakan apa yang ditulis oleh Ustazah Asma' untuk anak, ibu, bapa dan guru UPKK.
Mari ikuti nasihat bermakna daripada ustazah dikenali ramai ini.
Baca juga Belum dapat diploma, dua pelajar POLIMAS sudah berjaya dapat tawaran kerja, tahniah!
Baca juga Mengagumkan! Murid prasekolah dilatih sebagai penyelidik melalui Research Based Learning
*****
Tahniah buat anak, ibu, bapa dan guru
Walau apapun keputusan anak kita, sebagai ibu bapa berikan respon yang terbaik, peluk dan ucap tahniah, doa atau beri kata semangat. Paling utama adalah pada aqidah, ibadah dan akhlak budi pekerti, inilah sumber dan ukuran bahagia dan berjaya yang sebenar.
Jika tidak cemerlang dalam markah mata pelajaran, namun pandai menjaga maruah diri dan teguh dalam solat, itulah penyejuk hati yang hakiki.
Alhamdulillah. Atas usaha dan kesungguhan, anakanda Maisarah dapat keputusan yang sangat baik diluar jangkaan kami, kerana dalam tempoh dia ulangkaji dan peperiksaan kami tiada disisi, hanya doa dan kata-kata penguat. Dia lalui sendiri dengan kakaknya, Atiqah bantu untuk jaga adik-adik supaya tidak ganggu dia jawab peperiksaan.
Kerana kami tidak selalu dapat bersama dalam perjalanan belajar dan membesarkan anak-anak, maka doa adalah satu penguat yang jadi amalan setiap kali lepas solat atau setiap pagi, kami letakkan tangan di kepala atau memeluk dan meletakkan tangan di belakang badan anak lalu membacakan:
1) Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata,"Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam memelukku ke dada beliau, dan beliau bersabda:
اللَّهُمَّ عَلِّمْهُ الحِكْمَةَ
"Ya ALLAH, ajarkanlah hikmah (kebijaksanaan) kepadanya.” (HR. Bukhari no.3756)
2) Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda dalam mendoakan Ibnu Abbas RA:
اللّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ
"Ya ALLAH, fahamkanlah dia terhadap agama (ilmu) dan ajarkanlah (ilmu) tafsir (memahami al-Quran) kepadanya.” (HR. Ahmad dalam al-Musnad 1/328 dengan sanad yang Sahih)
3) Surah As Shaffat ayat 100:
رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ
"Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang yang soleh”
4) Surah Ibrahim 40:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاَةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاء
"Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang yang tetap melaksanakan solat…Ya Tuhanku, perkenankanlah doaku”
5) Surah al-Rahman 1-4:
اَلرَّحْمٰنُۙ عَلَّمَ الْقُرْاٰنَۗ خَلَقَ الْاِنْسَانَۙ عَلَّمَهُ الْبَيَانَ
"(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.
Dialah yang telah mengajarkan al-Quran.
Dialah yang telah menciptakan manusia.
Dialah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.
Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/
Usahalah istiqamah mana yang boleh dibaca, kita tak selamanya mampu menjaga dan mendidik anak dengan terbaik, mohonlah bantuan ALLAH SWT. Insya-ALLAH di manapun anak kita berada, walaupun saat kita telah tiada, mereka tetap dalam jagaan ALLAH.
Buat para guru yang tidak berhenti usaha pelbagai cara dalam kesukaran kaedah belajar secara maya, kalian tetap teguh mendidik anak murid dengan penuh amanah, semoga Allah SWT membalas segala jasa kalian dengan syurgaNya.
Tahniah buat anak, ibu ayah dan para guru yang berjuang dalam UPKK dan semua peperiksaan.
Sumber: Ustazah Asma' Harun