Tidak dinafikan, tugas anggota bomba dalam menjaga keselamatan rakyat di negara ini terlalu banyak.
Tugas mereka bukan sekadar memadam kebakaran serta memperjudikan nyawa sendiri membantu orang yang tidak dikenali, sebaliknya turut terlibat dengan pelbagai jenis operasi dan penyelamatan.
Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Selangor, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Faizal Md Zain berkata, tugas dan peranan anggota bomba pada masa kini semakin meluas dan mencabar sehingga memerlukan setiap ahli bomba bersiap sedia untuk menempuh apa jua halangan yang datang.
"Benar, ramai yang beranggapan tugas bomba hanya memadam kebakaran atau membantu mencari mangsa lemas.
"Tapi sebenarnya, banyak lagi skop tugasan bomba yang dilakukan dan semua itu membabitkan perkara menyelamatkan nyawa dan harta benda demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika dihubungi GPSBestari baru-baru ini.
[caption id="attachment_33058" width="400"] Mohd Faizal[/caption]
Beliau yang sudah 17 tahun bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, antara tugas anggota bomba sejak dulu hingga sekarang adalah melibatkan kemalangan jalan raya, operasi tanah runtuh, memusnahkan sarang tebuan, tumpahan dan kebocoran bahan bahaya, penyiasatan kebakaran, khidmat kemanusiaan dan menyelamatkan kucing yang terperangkap di atas pokok.
"Ini hanyalah sebahagian sahaja skop tugasan dan kami akan lakukan apa sahaja demi keselamatan nyawa masyarakat rakyat Malaysia,” ujar anak sulung daripada tiga adik-beradik itu.
Baca juga 6 sebab mengapa cikgu di Malaysia perlu memiliki akaun Twitter
Baca juga Politeknik Melaka salur bantuan untuk mangsa banjir di 2 negeri
Tutur beliau lagi, walaupun kerjaya bomba sangat mencabar namun tidak bermakna ia akan menjadi kerjaya pilihan terakhir anak-anak muda sekarang.
Hendak jadi bomba ini, perlu ada minat dan kesungguhan serta miliki keperibadian mahu membantu tanpa mengharapkan balasan.
"Saya yakin, generasi muda yang ada sikap sebegini pasti akan memilih untuk menjadi anggota bomba sekiranya mereka layak.
[caption id="attachment_33068" width="600"] Pasukan HAZMAT, unit khas yang tubuhkan bagi menangani masalah yang berkaitan dengan bahan kimia[/caption]
"Lihat sahaja ribuan sukarelawan banjir baru-baru ini yang terdiri daripada anak-anak muda yang hebat dan luar biasa semangatnya. Mereka sanggup mengambil risiko demi menyelamatkan mangsa banjir yang dalam bahaya sehingga ada masanya nyawa mereka sendiri ibarat di hujung tanduk. Bukankah apa yang dilakukan oleh mereka itu memperlihatkan bahawa ada antaranya pasti memilih kerjaya bomba nanti?,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kelayakan untuk menjadi anggota bomba, Mohd Faizal berkata, terdapat syarat lantikan tertentu yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA).
"Setiap calon perlu memenuhi syarat tersebut dan apabila diterima, saya sangat berharap agar anggota bomba baharu dan lama, dapat bertugas dengan sebaik mungkin dan miliki empat sifat ini iaitu urgently, berani, ikhlas dan beri pertolongan tanpa mengharapkan balasan,” jelasnya.
Terlibat pasukan elit
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Saiful Munir Mohd Isa mengakui tugas seorang ahli bomba bukanlah mudah.
"Mungkin orang awam melihat kami hanya bertugas memadam kebakaran sahaja tetapi tugas kami lebih daripada itu.
"Saya masih ingat, sepanjang 22 tahun menjadi anggota bomba, pelbagai operasi telah saya sertai antaranya kebakaran, runtuhan bangunan, tanah runtuh, misi mencari orang hilang, banjir besar dan sebagainya.
"Dalam setiap operasi ini, banyak ujian dan cabaran yang perlu dilalui. Sebab itulah, hendak jadi seorang anggota bomba, mesti berani, yakin dan memiliki semangat yang tinggi,” ujarnya.
[caption id="attachment_33059" width="400"] Mohd Saiful[/caption]
Mohd Saiful berkata, dirinya merupakan antara anggota yang memiliki kepakaran tertentu untuk menangani pelbagai situasi kecemasan bagi memastikan nyawa mangsa dapat diselamatkan dalam apa jua keadaan.
"Saya merupakan anggota yang terlibat dalam tiga pasukan elit iaitu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) sebagai Ketua Unit Selam, Special Tactical Operation and Rescue Team of Malaysia (STORM) sebagai Pegawai Ops SAR dan Multi Skill Team (MUST) sebagai anggota yang mahir bekerja dengan pesawat.
"Setiap unit ini ada cabaran dan kesukaran masing-masing. Jika kita tiada kekuatan mental dan fizikal, sudah pasti susah untuk melalui segala operasi yang ditugaskan,” katanya.
Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2010 dan 2012 serta pernah berkursus di Tokyo, Jepun dalam bidang Urban Fire Fighting (JICA) ini menasihatkan kepada orang awam supaya peka dengan keadaan sekeliling bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
"Saya mohon sangat, simpan nombor telefon balai bomba yang berhampiran dalam telefon bimbit masing-masing serta hubungi 999 jika ada kes kecemasan.
"Dua nombor ini sangat penting untuk elak perkara tidak diingini daripada menjadi bertambah buruk,” ujarnya.
[caption id="attachment_33066" width="400"] Anggota bomba turut dicari bagi membantu memotong mangga jerisi besi.[/caption]
Kagum dengan pasukan bomba
"Keberadaan dan kecekapan pasukan bomba dalam menangani sesuatu bencana atau kemalangan yang membabitkan nyawa dan harta benda memang terbaik.
"Sebagai rakyat Malaysia, saya cukup kagum dan bangga dengan agensi penyelamat ini di mana wujudnya nilai murni dan naluri kemanusiaan yang sangat tinggi dalam setiap operasi menyelamat membabitkan harta benda, manusia dan juga haiwan,” kata Ketua Bahagian Operasi Jabatan Keselamatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mejar Rozaimi Kamarudin yang mewakili orang awam.
[caption id="attachment_33064" width="400"] Mejar Rozaimi[/caption]
Katanya lagi, sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan melihat kepentingan pasukan bomba kepada masyarakat.
"Saya rasa aspek peralatan dan logistik JBPM perlu ditambah baik dengan peralatan baharu, terkini dan berkualiti supaya kerja-kerja menyelamat dan pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan baik.
"Seperkara lagi, mohon melihat semula gaji dan elaun anggota bomba ini agar setimpal dengan tugas dan risiko yang dihadapi,” ujarnya.
[caption id="attachment_33067" width="400"] Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia sentiasa berada dalam keadaan bersiap bersedia.[/caption]
Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/
APA KATA MEREKA
1)"Saya mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada anggota bomba yang sentiasa bersedia dalam menghadapi pelbagai situasi seperti kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan anggota bomba tiada galang gantinya.”
- Penjawat awam, Nur Jannah Hasimi.
[caption id="attachment_33063" width="400"] Nur Jannah[/caption]
2) Dengan kemajuan teknologi semasa, kerjaya sebagai seorang ahli bomba kini bertaraf elit dan disanjung tinggi oleh seluruh lapisan masyarakat. Justeru, sekiranya ada ahli keluarga atau rakan-rakan yang ingin menyertai pasukan bomba, maka saya akan memberi sokongan dan galakan sewajarnya.”
- Konsultan Pengurusan Acara, Bob Faizeli M. Din.
[caption id="attachment_33061" width="400"] Bob Faizeli[/caption]
3) Kepada anggota bomba, anda adalah wira yang sangat disanjung tinggi oleh seluruh rakyat Malaysia. Teruskan berbakti kepada masyarakat, hanya ALLAH sahaja dapat membalas pengorbanan anda.”
- Usahawan Bakeri, Kathynoor Mohamed Din.
[caption id="attachment_33062" width="400"] Kathynoor[/caption]
INFO
Pencapaian Peribadi Mohd Faizal Md Zain
1) Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Labuan 2008 dan 2013
2) Sijil Perkhidmatan Terpuji JBPM Negeri Kelantan 2014
3) Pingat Cemerlang Bomba JBPM 2015
4) APC JBPM Negeri Selangor 2020
Pencapaian pertandingan dalam jabatan
1) Johan Kawad Operasi Kemalangan Jalan Raya, Pertandingan Kawad Kecekapan JBPM mewakili JBPM Wilayah Persekutuan Labuan 2008
2) Naib Johan Kawad Operasi Tangga, Pertandingan Kawad Kecekapan JBPM, mewakili JBPM Wilayah Persekutuan Labuan 2007
3) Tempat Ketiga Fire Fighter Challenge, Pertandingan Kawad Kecekapan JBPM, mewakili JBPM Wilayah Persekutuan Labuan 2006
4) Tempat Ketiga Pertandingan Debat sempena Hari Inovasi dan Kualiti JBPM mewakili JJBPM Negeri Kelantan 2014
Pencapaian bagi jabatan
1) Anugerah Eksa Cemerlang Diiktiraf oleh Mampu bagi JBPM Negeri Selangor 2020