KKM buka PPV Sekolah selewatnya 14 Februari ini
Iklan
SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan semua negeri memulakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah selewat-lewatnya pada 14 Februari 2022 bagi menjayakan usaha pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada 80 peratus kanak-kanak di negara ini.Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, sebanyak 50 peratus kanak-kanak dijangka diberikan suntikan pertama di sekolah-sekolah yang terpilih pada penghujung bulan ini.Baca juga Murid sekolah tidak perlu diasingkan sekiranya tidak divaksin – PIBGNTiada kesan sampingan serius pengambilan vaksin dalam kalangan pelajar sekolah"Terdapat kira-kira 70 peratus kanak-kanak yang bersekolah membabitkan jumlah sebanyak 2 juta orang dan jika kita dapat melaksanakan PPV Sekolah dengan jayanya, ia akan membantu mempercepatkan pemberian vaksin untuk kanak-kanak."Usaha yang memerlukan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi terutamanya Kementerian Pendidikan (KPM) ini dilihat akan membantu negara mencapai sasaran 80 peratus kanak-kanak yang mendapat vaksin," katanya ketika mengadakan sesi wawancara eksklusif bersama Sinar Harian, pada Selasa.Mengulas mengenai kebimbangan ibu bapa terhadap kesan sampingan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak, Noor Azmi berkata, setakat ini sebanyak 43,000 dos sudah diberikan dan tiada kesan advers susulan imunisasi (AEFI) dilaporkan."Semua orang sayangkan anak masing-masing dan saya faham kebimbangan utama ibu bapa ialah kesan sampingan, sejauh mana keberkesanan dan masalah yang bakal dihadapi apabila anak-anak mengambil vaksin."Saya ambil contoh myocarditis, risikonya jauh lebih tinggi untuk berlaku apabila anak-anak dijangkiti Covid-19 berbanding ketika mendapatkan suntikan vaksin."Jadi yang mana lebih baik, dijangkiti Covid-19 atau ambil vaksin? Sudah tentunya ambil vaksin untuk melindungi anak-anak kita kerana kesan sampingan yang direkodkan adalah sangat rendah malah berdasarkan 8.6 juta dos yang diberikan di Amerika Syarikat, hanya 11 kes mendapat myocarditis," ujarnya.