Screenshot 2022-02-09 132913
Screenshot 2022-02-09 132913

Tiada kesan sampingan serius pengambilan vaksin dalam kalangan pelajar sekolah

Rasyidah Zulkifi
09 Feb 2022 02:18pm
A
A
A

SHAH ALAM: Ibu bapa dan penjaga tidak perlu bimbang mengenai suntikan vaksin Covid-19 kepada anak-anak memandangkan kesan sampingan mereka adalah lebih rendah berbanding orang dewasa.

Pakar Virologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip berkata, dos vaksin yang diberikan kepada pelajar sekolah hanyalah satu pertiga daripada orang dewasa.

“Kita tak boleh samakan dos yang diberikan kepada kanak-kanak dengan dos penggalak dan dos yang diterima oleh orang dewasa kerana ketiga-tiga dos ini bebeza.

Pakar Virologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip menjadi panelis jemputan secara maya.

“Sebanyak 18,000 dos telah diberikan kepada kanak-kanak dan dari segi kesan sampingan vaksin adalah rendah, melainkan kesan biasa seperti bekas di tempat suntikan, demam dan sebagainya.

“Merujuk kepada data yang lebih besar, 8.7 juta dos vaksin kanak-kanak telah diberikan dan kesan yang menyebabkan miokarditis adalah 12 daripada jumlah yang tersebut,” katanya.

Baca juga 

PICK-Remaja secara “walk-in” bermula Khamis ini seluruh negara.

PICK-R daerah Klang capai sasaran, 72,185 pelajar lengkap dua dos vaksin

Miokarditis merupakan gejala radang otot jantung yang dikesan selepas individu menerima vaksinasi Covid-19.

Pada masa yang sama, beliau berkata, keberkesanan vaksin kepada pelajar sekolah adalah pada tahap 90 peratus.

“Kadar ini sangat baik dalam melindungi kanak-kanak supaya terhindar daripada mendapat penyakit yang teruk disebabkan jangkitan Covid-19.

“Melihat kepada perbandingan, kalau seseorang kanak-kanak itu mendapat jangkitan Covid-19, ada kebarangkalian lebih kurang 450 dalam satu juta boleh menyebabkan miokarditis.

“Jadi dengan kadar 90 peratus keberkesanan vaksin yang digunakan untuk kanak-kanak ini maka, risiko disebabkan jangkitan tersebut dapat diatasi,” ujarnya.

Menurut beliau, ibu bapa seharusnya yakin dengan KKM untuk memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada anak-anak mereka kerana vaksin tersebut telah diformulasikan khusus dan mengikut kesesuaian kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis jemputan pada sesi Wacana X Sinar Bestari yang bertajuk PICKids: Kenapa ibu bapa tidak berani? yang disiarkan di semua platform Sinar Harian, semalam.

Wacana tersebut turut menampilkan Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Dr Mohammad Ali Hassan, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam, Datuk Azizi Abd Hamid dan Khairi Amri sebagai moderator program.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok