Tidak dinafikan Malaysia telah diiktiraf sebagai sebuah negara terbaik di dunia dalam memberi perkhidmatan penjagaan kesihatan selain turut mempunyai ramai doktor terlatih terbaik di Asia.
Bukan dari sudut kesihatan sahaja, malah sektor pendidikan negara turut menjadi tumpuan pelajar luar memilih universiti tempatan sebagai tempat untuk melanjutkan pengajian.
Memang tidak dinafikan pelajar luar negara sememangnya tertarik untuk menyambung pengajian di Malaysia adalah disebabkan oleh beberapa faktor positif.
Selain mempunyai keunikan dan tarikan yang tersendiri, Malaysia turut menawarkan pendidikan dengan harga berpatutan.
Melihat kepada kelebihan tersebut, Universitas Islam Negeri (UIN) Bandung, Mataram dan Acheh akan menghantar sekurang-kurangnya 100 mahasiswa bagi memulakan pengajian sarjana di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada September ini.
Timbalan Naib Canselor UUM (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Shahimi Mohtar memberitahu, majlis menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara dua universiti berkenaan akan dimeterai pada Mei ini.
Beliau berkata, melalui perbincangan baru-baru ini bersama Direktor Jeneral Pendidikan Islam, Kementerian Agama (KEMENAG) Indonesia, Profesor Dr Muhammad Ali Rmadhani, 100 mahasiswa kumpulan pertama akan diberi biasiswa penuh oleh UIN termasuk kos pengajian, kursus bahasa Inggeris, elaun dan bayaran urusan Visa.
Muhammad Ali turut memaklumkan tentang pemilihan UUM sebagai penempatan mahasiswanya menyambung pengajian adalah disebabkan kedudukan universiti tersebut dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings yang sentiasa menunjukkan peningkatan memberangsangkan.
Selain itu kemudahan prasarana, keselesaan persekitaran kampus, nilai-nilai persahabatan dan peradaban juga antara sebab utama universiti itu dipilih.
"Pada peringkat pertama ini, kami akan menghantar lebih kurang 100 mahasiswa terlebih dahulu yang melibatkan tiga cawangan UIN iaitu Bandung, Mataram dan Aceh.
"Namun sekiranya mendapat maklum balas yang positif, kami berhasrat untuk menghantar 58 mahasiswa lagi,” ujarnya.
Dalam pada itu, pengajian sarjana ini akan mengambil masa dua tahun iaitu setahun di UUM dan setahun lagi di UIN.