Wakil KPT dan KKM tinjau Menu Kasih di UPM

Iklan
Sebahagian hidangan makanan Menu Kasih yang disediakan UPM untuk golongan mahasiswanya.

Baru-baru ini, Bahagian Mahasiswa Holistik (BMH), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah membuat tinjauan pelaksanaan set hidangan Menu Kasih dan bantuan kupon makanan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tinjauan itu bertujuan memastikan menu yang dihidangkan pengusaha gerai makanan di UPM adalah berkualiti dan sihat.

Iklan
Iklan

Dalam sesi tersebut, tiga wakil Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan (KKM) turut hadir bagi membantu perjalanan tinjauan lancar.

Hadir sama, Pengarah BMH KPT, Hirman Awang; Pegawai Khas Menteri Pendidikan Tinggi, Danial Khaleq Mohd Ali; Penolong Pengarah Kanan BMH KPT, Emylia Shakira Jamean; Timbalan Pengarah Bahagian Pemakanan KKM, Zaiton Daud dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM, Nuruliman Ibrahim.

Iklan

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Profesor Dr Arifin Abdu, tinjauan tersebut adalah hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk melihat pelaksanaan kawalan harga makanan Menu Kasih dalam mengurangkan beban kos sara hidup mahasiswa dan aspek kualiti makanan di setiap gerai makanan UPM.

Kata beliau, persetujuan telah dicapai sebelum ini antara semua pengusaha makanan di kampus bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM bagi memberikan harga kawalan terbaik kepada mahasiswa iaitu Menu Kasih RM3.50 yang diperkenalkan UPM mulai 8 Julai tahun lalu.

Iklan

"Alhamdulillah, hasil pemantauan staf Hal Ehwal Pelajar dan Alumni secara berkala, pengusaha makanan UPM sentiasa memastikan Menu Kasih ini disediakan.

"Malah terdapat pengusaha yang mengenakan harga serendah RM3 dan memberi mahasiswa mengambil makanan yang lebih nilainya daripada harga siling RM3.50 sebagai ehsan mereka.

"Inisiatif menyediakan harga makanan yang berpatutan oleh peniaga sejak tahun lalu sangat membantu mereka terutama kepada mahasiswa daripada keluarga B40 UPM,” jelasnya.

Sebelum ini, inisiatif institut pengajian tinggi (IPT) tempatan menyediakan menu makanan berkualiti dengan harga serendah RM3.50 dilihat sangat membantu dalam meringankan beban kos sara hidup penuntut IPT khususnya golongan B40.

Inisiatif IPT berkenaan secara langsung menyahut saranan KPT supaya IPT menyediakan jualan makanan di dalam kampus dengan setiap hidangan pada harga siling RM3.50.

Antara IPT awam yang melaksanakan inisiatif berkenaan ialah UPM, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).