Cantik dan bijak! Begitulah perumpamaan yang diberikan kepada gadis bernama Nur Nadia Ismail ini.
Merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nur Nadia yang baru sahaja dinobatkan penerima Anugerah Tengku Ampuan Afzan ketika Majlis Konvokesyen UKM ke-50 yang lalu melahirkan rasa gembira apabila berpeluang mengenggam anugerah berprestij itu.
Katanya, dia berterima kasih kepada semua pihak terutama keluarga kerana sentiasa mendoakan yang terbaik buatnya sepanjang belajar di UKM.
Melihatkan kejayaan Nur Nadia, Sinar Bestari ‘salute’ dengan perjalanan hidup gadis ini.
Masakan tidak, Nur Nadia bukan seperti pelajar normal yang lain sebaliknya dia pelajar Orang Kurang Upaya (OKU - Pendengaran) yang berjaya memperolehi dekan bagi lima semester berturut-turut.
Menurut Nur Nadia, kejayaan hari ini bukan terhasil dengan cara mudah. Banyak onak duri yang perlu dia lalui sepanjang pengajian.
"Dulu saya pernah melahirkan hasrat mahu berhenti belajar. Tetapi, ibu bapa memberi nasihat untuk tidak berputus asa dan teruskan perjuangan.
"Mendengarkan nasihat mereka, saya nekad untuk terus belajar. Mana yang saya tidak faham, saya rujuk dengan pensyarah, rakan-rakan dan alhamdulillah akhirnya berjaya,” ujarnya.
Berkongsi mengenai cabaran sepanjang pengajian di kampus, Nur Nadia mengakui yang dia perlu berhadapan bermacam-macam dugaan.
"Saya masih ingat, cabaran yang paling besar adalah berkaitan komunikasi dan mendengar.
"Memang sedih sangat sebab semua ini menjejaskan proses pembelajaran. Namun begitu saya bersyukur kerana mereka (pensyarah dan rakan) banyak membantu dalam semua aspek,” jelas Nur Nadia.
Akhir sekali, Nur Nadia yang berhasrat mahu menjadi Guru Pendidikan Khas khususnya dalam Pendengaran memohon doa daripada semua agar dia berjaya dalam apa jua bidang yang akan diceburi kelak.
"Untuk yang senasib dengan saya, harap terus bersemangat dalam menempuh kehidupan,” tuturnya.