UPSI capai kedudukan 101-125 dunia bidang pendidikan

Iklan
Md Amin berkata, pencapaian itu selaras fokus utama dalam bidang pendidikan, menjadikan UPSI melonjak sebagai institusi pengajian tinggi yang melahirkan pendidik berkualiti tinggi untuk berkhidmat di seluruh negara. - Foto UPSI

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mencipta kejayaan di pentas dunia apabila berjaya disenaraikan di kedudukan 101-125 dalam penarafan World University Rankings 2026: Education Studies. 

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam kenyataan berkata, berbanding sebelum ini di kedudukan 126 hingga 150, pencapaian terkini itu semakin mengukuhkan kedudukan UPSI sebagai universiti pendidikan terkemuka di Malaysia dan dunia.

Iklan
Iklan

"Pencapaian ini juga satu pengiktirafan kepada bidang pendidikan kita di peringkat antarabangsa. Seluruh warga UPSI sudah bekerja keras demi meningkatkan kualiti penyelidikan mencapai tahap berimpak tinggi, jaringan industri serta kolaborasi antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu juga hasil penerapan konsep BITARA (Bijak Tanpa Tara) iaitu Bakat Unggul (B), Inovasi dan Penyelidikan (I), Transformasi Teknologi (T), Adab, Akhlak, Akademik (A), Revolusi Ekosistem (R) dan Adaptasi Global (A), bagi menjulang nama serta maruah UPSI.

Iklan

Md Amin berkata, pencapaian itu selaras fokus utama dalam bidang pendidikan, menjadikan UPSI melonjak sebagai institusi pengajian tinggi yang melahirkan pendidik berkualiti tinggi untuk berkhidmat di seluruh negara.

"Pencapaian dan kejayaan ini juga selaras dengan seruan Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir) untuk mengangkat nama negara dalam pendidikan tinggi Malaysia menjelang 2030," katanya. - Bernama 

Iklan