Universiti lebih hebat di mata masyarakat dengan perkongsian penyelidikan

Iklan
Gambar hiasan-unsplash

Universiti perlu memasyarakatkan institusinya dengan perkongsian penyelidikan agar dapat dirasai semua pihak sekali gus membantu meningkatkan kemajuan negara secara holistik.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, universiti merupakan 'gedung' percambahan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam melahirkan modal insan menerusi pengajaran serta pembelajaran.

Iklan
Iklan

"Selain itu, universiti-universiti turut menjalankan penyelidikan dan inovasi untuk memastikan kemajuan masyarakat serta negara.

"Bagaimanapun, ketika universiti ghairah mencipta nama di dalam dan luar negara menerusi penyelidikan dilakukan, perlu diingatkan segala bentuk penemuan sama ada berbentuk fizikal, jurnal atau kemahiran perlu dikongsikan dengan masyarakat," katanya.

Iklan

Mohammad Shatar menjelaskan, perkongsian itu perlu dilaksanakan supaya manfaat yang diperoleh dapat dinikmati tanpa mengira lapisan masyarakat malah diaplikasikan secara menyeluruh.

Mohammad Shatar

Iklan

Katanya, pendekatan tersebut merupakan usaha menjadikan universiti di negara ini lebih hebat kualiti, dapatan penyelidikan perlulah dimanfaatkan bersama-sama oleh semua dan membantu meningkatkan kemajuan negara secara holistik.

"Kita sudah pasti tidak mahu istilah universiti sebagai 'menara gading' menjadi tempat yang terlalu eksklusif sehingga tidak boleh dikongsikan hasil dapatan bersama masyarakat.

"Dalam dunia hari ini yang berasaskan ilmu, masyarakat yang tidak mementingkan ilmu pengetahuan dan inovasi akan terus ketinggalan ke belakang," ujarnya.

Sebaliknya, beliau menambah, masyarakat akan berasa sangat beruntung apabila menerima manfaat daripada universiti-universiti menerusi perkongsian ilmu dan perpindahan pengetahuan.

Katanya, perkongsian universiti bersama masyarakat sekiranya terus diperhebat akan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan tinggi seterusnya mampu membantu merealisasikan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menjadikan negara sebagai hab pendidikan global.