Masyarakat di negara ini berpeluang menyambung pengajian ke politeknik dan kolej komuniti di peringkat sijil Tahap 1 dan 2 yang boleh digunakan untuk memasuki pasaran kerja.
Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) untuk memberikan fleksibiliti kepada masyarakat bagi melanjutkan pelajaran di kedua-dua institusi berkenaan.
Beliau menambah, kebanyakan masyarakat negara ini berhasrat melanjutkan pengajian tetapi berdepan kesulitan disebabkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang memberansangkan ataupun beberapa faktor lain sehingga membantutkan impian mereka.
"MQA dan JPPKK merancang menyediakan laluan fleksibel bagi memudahkan masyarakat negara ini untuk melanjutkan pengajian di politeknik dan kolej komuniti.
"Tanpa mengira latar belakang akademik, calon masih berpeluang melanjutkan pengajian tahap sijil di politeknik ataupun kolej komuniti berhampiran mereka sekali gus boleh digunakan untuk permohonan pekerjaan kelak,” katanya selepas Mesyuarat Penyelarasan Pemerkasaan Laluan TVET di Politeknik Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah JPPKK, Dr Mohd Zahari Ismail; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Profesor Ir Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari; Pengarah Kanan Akreditasi MQA, Mohd Khairul Nizam Ibrahim; Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Dullah Muluk; Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Abdul Razak Mohamed; Pengarah Bahagian Peperiksaan dan Penilaian JPPKK, Dr. Norhayati Ibrahim serta Pengarah Bahagian Governan dan Kecemerlangan JPPKK, Ts Abdul Razak Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar menjelaskan, kedua-dua pihak turut mencadangkan setiap kolej komuniti supaya menyediakan program berkaitan dengan kehendak masyarakat sekeliling serta keperluan setempat.
Tuturnya, ia bertepatan dengan hasrat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk melonjakkan imej ataupun persepsi masyarakat terhadap kepentingan politeknik dan kolej komuniti dalam menghasilkan tenaga kerja berkemahiran bagi keperluan dalam negara.
"Inisiatif sebegini diyakini dapat menarik minat masyarakat untuk melanjutkan pengajian kerana kemahiran yang dipelajari menepati keperluan diperlukan oleh masyarakat dan majikan.
"Secara tidak langsung, ia akan menjadi contoh kepada negara luar bagaimana Malaysia menyediakan peluang menyambung pengajian terbuka kepada seluruh masyarakat tempatan tanpa mengira latar belakang akademik,” katanya.