Dipanggil untuk sesi temu duga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) atau jabatan swasta lain merupakan detik terindah buat seorang graduan.
Ini kerana temu duga tersebut bakal menentukan sama ada mereka akan mendapat pekerjaan yang diidamkan atau sebaliknya.
Dalam konteks menerima tawaran untuk menghadiri temu duga, banyak persediaan yang perlu dilakukan oleh calon-calon.
Selain bersedia daripada segi mental dan fizikal, calon-calon juga wajib mengambil berat soal pemakaian masing-masing agar dapat menarik perhatian pandangan penemu duga terhadap mereka.
Baru-baru ini, Sinar Bestari menemui perkongsian seorang panel penemu duga SPA mengenai tatacara pemakaian ketika sesi temu duga berlangsung.
Dalam perkongsian itu, panel tersebut menyenaraikan lapan tip penting untuk calon lakukan sebelum ditemu duga.
Berikut tip yang dimaksudkan panel penemu duga SPA terbabit.
1) Pastikan rambut kemas dan tidak keterlaluan
Sila kemaskan rambut tanpa gaya yang keterlaluan. Ia penting dalam memastikan proses temu duga berjalan lancar.
2) Kanta lekap
Tidak digalakkan memakai kanta lekap yang berwarna kerana kebiasaannya panel tidak berminat untuk melihat mata yang pelbagai warna dan corak. Calon perlu memakai kanta lekap yang berwarna hitam sahaja.
3) Janggut dan misai
Pastikan janggut dan misai calon dalam keadaan kemas. Namun begitu, anda disarankan bercukur terus untuk memperlihatkan kekemasan diri ketika ditemu duga.
4) Wangian
Boleh memakai wangian kesukaan namun jangan terlalu kuat baunya. Memadailah anda sembur di titik-titik tertentu di badan.
5) Baju
Mohon calon memakai baju yang sesuai dan paling selamat, pakailah warna putih.
Berkaitan tali leher pula, pilih warna dan corak yang sepadan dengan baju. Sekiranya calon mempunyai sepasang baju dan seluar (set suit), pakai saja kerana kelebihan untuk calon yang memakai sebegini sangat cerah kerana kelihatan serius dan profesional.
6) Tali pinggang
Disarankan calon memakai tali pinggang berkulit. Jika pakai lain dari ini, sangat tidak kemas dan tidak bersesuaian.
7) Seterika baju
Seterika baju dan seluar dengan kemas. Kena ingat, penampilan adalah pandangan pertama panel. Jika baju tidak seterika, panel tidak berminat untuk menemu duga calon.
8) Stoking dan kasut
Tidak digalakkan memakai stoking selain warna hitam kerana tidak sesuai dan kelihatan tidak profesional.
Pastikan memakai kasut kulit yang sudah dikilatkan. Jangan pakai lain daripada kasut kulit kerana ia tidak menunjukkan tahap profesional untuk jawatan berkenaan.