Sekolah Menengah Sains (SMS) Pasir Puteh, Kelantan, sememangnya terkenal dengan keaktifan menghasilkan inovasi terbaharu bagi membantu guru dan pelajar mengikuti pembelajaran dengan baik.
Setakat ini, beberapa produk inovasi berjaya dihasilkan sekumpulan pelajarnya iaitu GT-E, A-Box, INC2, C’Luma Track, Sq Pics, Arabian Box dan Memoria.
Selain itu, mereka turut mencipta Autonomous Mask Buster yang berfungsi menyedut pelitup muka yang dibuang merata-rata sekali gus mensanitasi kawasan berkenaan.
Melihatkan kejayaan SMS Pasir Puteh dalam bidang inovasi, Sinar Bestari tertanya-tanya siapakah yang menjadi tulang belakang kecemerlangan tersebut.
Setelah dirisik, rupa-rupanya, sumber kekuatan pasukan berkenaan datang daripada dua orang gurunya iaitu Cikgu Norasma Mohamed Salleh dan Cikgu Dr Salbiah Mohamed Salleh.
Gandingan mantap dua beradik yang berpengalaman luas dalam bidang inovasi dan penyelidikan itu sememangnya sangat bermakna kepada warga sekolah.
"Segala ilmu yang ada, kami kongsi kesemuanya dengan anak-anak didik SMS Pasir Puteh.
"Alhamdulillah, mereka dapat menerima dengan baik seterusnya mampu mencipta dan menghasilkan produk inovasi yang terkini serta bermutu tinggi,” ujar Cikgu Norasma kepada Sinar Bestari.
Selain mereka berdua, tulang belakang lain yang turut membantu para pelajar dalam inovasi adalah barisan pentadbir, guru-guru, ibu bapa dan penjaga.
"Mereka antara insan yang banyak memberi sumbangan idea dalam penciptaan produk. Mereka juga turut menghulur sumber kewangan dalam bab pembelian barangan keperluan inovasi.
"Sebagai guru pembimbing, sudah tentulah kami gembira di atas keprihatinan kesemuanya.
"Diharapkan, kerjasama sebegini akan terus terjalin dan pasukan inovasi SMS Pasir Puteh dapat melakar kejayaan dengan penciptaan lebih banyak lagi inovasi hebat dan kreatif,” ujar Cikgu Salbiah.