Seramai 35 pelajar dan tujuh guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkor, Perak berpeluang menerokai dunia maritim menerusi pelayaran bersama KD Teguh Samudera di perairan Lumut.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan memaklumkan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) telah menganjurkan Program Kepimpinan dan Pelayaran Sehari Bersama Sekolah bersempena Program Jiwa Murni MADANI Armada Barat 2026.
Program itu ialah inisiatif di bawah satu daripada strategi Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) di bawah Kementerian Pertahanan iaitu memperkasakan CIMIC menerusi pendekatan Real-Life Experience Engagement Programme.
Menurut Markas Pemerintahan Armada Barat, program itu bertujuan memberikan pendedahan secara langsung kepada generasi muda mengenai kehidupan dan pengoperasian kapal TLDM.
"Sepanjang pelayaran, para pelajar didedahkan kepada asas ilmu kelautan (seamanship), penggunaan peralatan navigasi, prosedur keselamatan serta rutin kehidupan warga kapal.
"Pengisian turut merangkumi aktiviti kepimpinan, motivasi dan pembinaan pasukan bagi memupuk disiplin, keyakinan diri serta semangat kerjasama," menurut kenyataan itu.
Markas Pemerintahan Armada Barat memaklumkan, sesi perkongsian kerjaya bersama pegawai dan anggota TLDM turut diadakan untuk memberikan pendedahan mengenai kepelbagaian bidang kepakaran, peranan dan tanggungjawab TLDM dalam mempertahankan kedaulatan serta keselamatan perairan negara.
Inisiatif itu juga bertujuan menyemai minat pelajar terhadap peluang kerjaya dalam bidang maritim dan pertahanan.
"Penganjuran ini mencerminkan komitmen berterusan TLDM, ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan Kementerian Pertahanan bersama KPM dalam memperkasakan pembangunan generasi muda yang berdisiplin, berdaya tahan dan berjiwa patriotik, selaras dengan aspirasi Program Jiwa Murni MADANI Armada Barat 2026," menurut kenyataan itu. - Bernama