Kementerian Pendidikan (KPM) bertekad untuk memastikan perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan sektor pendidikan dilaksanakan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan KPM baru-baru ini, mereka akan menerajui Dasar Pendidikan Digital (DPD) bagi menyambut agenda pendidikan digital negara seiring dengan keperluan kini dan pada masa depan.
Jelasnya lagi, mereka juga akan memastikan prasarana dan infrastruktur institusi pendidikan di bawah KPM sentiasa berada dalam keadaan yang selamat serta kondusif.
Selain itu, Pendidikan dan Latihan Teknikal (TVET) juga akan terus diperkasa dalam usaha melahirkan graduan TVET yang berkualiti.
"KPM juga komited memastikan prasarana dan infrastruktur institusi pendidikan di bawah KPM sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kondusif melalui projek menaik taraf atau penggantian blok bangunan sekolah daif.
"Selain itu, bidang TVET juga akan terus diperkasa untuk melahirkan graduan TVET yang memenuhi keperluan industri dan negara.
"Ini akan dilakukan menerusi pendekatan usahasama antara pihak awam dan swasta,” katanya.
Dalam pada itu, KPM turut menyatakan usaha untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah dengan memperkasakan penggunaan Modul Intervensi Jenayah Seksual Kanak-kanak di Sekolah (IHSAN).
Ini diikuti dengan penelitian dan semakan berkaitan peraturan-peraturan disiplin murid yang lebih komprehensif demi keselamatan mereka di sekolah.
"KPM akan terus berusaha untuk memastikan seruan Baginda Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.