Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah mementerai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Sains Sukan Nippon dari Jepun yang bertujuan untuk menambah baik kualiti sukan negara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan MSN baru-baru ini, kerjasama itu telah membuka peluang perkongsian berkaitan teknologi sains sukan serta pendidikan jasmani.
Jelasnya, ini akan membantu MSN dan MOM memperkasakan pengaplikasian sains sukan melalui kajian ilmiah dan latihan teknologi terkini yang diterajui oleh barisan pakar akademik berpengalaman universiti tersebut.
"Berdasarkan rekod, institut pengajian tinggi Jepun itu mempunyai pencapaian yang cemerlang dalam penghasilan atlet-atlet bertaraf dunia.
"Universiti itu juga telah melahirkan 137 pemenang pingat untuk kontinjen Jepun pada temasya Sukan Olimpik serta Sukan Paralimpik termasuk 41 pingat emas keseluruhan.
"Melalui kerjasama ini MSN-MOM berpeluang menghantar atlet dan jurulatih kebangsaan bagi mengikuti kursus serta latihan di universiti tersebut dan dalam masa sama mendapat manfaat melalui perkongsian kepakaran untuk diaplikasikan kepada pembangunan sukan negara,” jelas kenyataan MSN itu lagi.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh berkata, beliau berharap dengan terjalinnya kerjasama ini, Malaysia dapat melangkah lebih jauh dalam usaha mencari pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik.
"Diharapkan melalui MoU yang termeterai pada hari ini mampu membawa Malaysia selangkah lebih dekat dengan kilauan pingat emas pertama untuk negara pada Sukan Olimpik yang akan datang,” katanya.