Kebijaksanaan dan keyakinan dalam pengurusan kewangan merupakan satu kemahiran yang harus dikuasai untuk mencapai kualiti kehidupan lebih baik.
Oleh itu, pendidikan kewangan yang bermula dari institusi pendidikan penting untuk mengajar mahasiswa mengamalkan pengurusan kewangan yang beretika dan dalam masa sama memupuk sifat bertanggunjawab dengan hal ehwal kewangan mereka.
Atas sebab itu, baru-baru ini Bank, Malaysia Building Society Berhad (MBSB) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha memperkasakan pendidikan kewangan.
Beberapa program telah direncanakan melalui kerjasama itu seperti pembelajaran dan pengurusan kewangan untuk pembangunan akademik serta perniagaan.
Program-program yang akan diadakan itu meliputi penyelidikan, kursus, seminar dan persidangan bagi mempertingkatkan lagi tahap pengetahuan kewangan dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi UiTM.
Naib Canselor UiTM, Profesor Ts Dr Roziah Mohd Janor berkata, kerjasama ini penting dalam usaha melebarkan sayap dan merancakkan lagi bidang pendigitalan.
Tambah Roziah, Bank MBSB akan menjadi tulang belakang menjayakan usaha pendigitalan kampus menerusi kolaborasi dengan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FBM) yang berpangkalan di Kampus Puncak Alam, Selangor.
Jelanya, kerjasama ini juga mampu menjadikan UiTM sebagai pemacu dalam teknik penyampaian dan perkhidmatan universiti.
"Kolaborasi ini dapat melebarkan sayap UiTM dengan lebih luas dan merancakkan lagi bidang digital, ekonomi lestari, akademik dan penyelidikan antara kedua-dua pihak.
"Ini juga menjadikan UiTM pemacu dalam teknik penyampaian dan perkhidmatan universiti yang lebih berkesan seiring tuntutan kemajuan teknologi semasa.
"Saya yakin kerjasama ini dapat membuka ruang dan peluang kepada pelajar UiTM untuk menjalani latihan industri dan pelbagai aktiviti bersama Bank MBSB seterusnya membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan UiTM,” ujarnya pada Majlis tandatangan MoU di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM, Shah Alam, baru-baru ini.
Hadir sama, Dekan FBM, Profesor Dr Firdaus Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib dan Ketua Perniagaan Digital MBSB Bank, Zainul Abidin Mustafa.
Sementara itu, Nor Azam memberitahu, pihaknya giat menjalankan pelbagai program berkaitan pendidikan kewangan untuk generasi muda serta kumpulan peniaga kecil dan sederhana bagi membantu mereka menguruskan kewangan dengan lebih bijak.
Ujarnya, MBSB yakin kerjasama bersama UiTM ini dapat membantu dalam pembangunan modal insan menerusi graduan yang berkompetensi serta kebolehpasaran yang tinggi.
"Ia selaras dengan aspirasi Bank MBSB yang sentiasa memandang berat tentang pendidikan kewangan serta perancangannya bagi membantu generasi muda dan masyarakat untuk membuat keputusan kewangan yang bijak dan bertanggungjawab,” katanya.