MSUMC, FAS meterai MoU meliputi bidang perubatan dan kesihatan

Iklan
MSUMC, FAS meterai MoU jalin kerjasama bidang perubatan dan kesihatan.

Sukan mampu menjadi sebuah industri yang menjana ekonomi di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Untuk itu, adalah penting untuk menjaga kebajikan para pemain demi meningkatkan kualiti serta kecemerlangan dalam bidang berkenaan.

Melihat kepada kepentingan itu, Pusat Perubatan Management and Science University (MSUMC) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membentuk jaringan kerjasama dan kolaboratif pintar bidang perubatan serta pemulihan kesihatan.

Menurut Pengasas dan Presiden MSUMC, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, penajaan berkenaan membabitkan aspek pemeriksaan kesihatan kepada semua pemain dan pengurusan pasukan, konsultansi perubatan dan pemulihan, perkhidmatan ambulan, sokongan pegawai perubatan, rawatan pergigian, penggunaan pusat fisioterapi dan sokongan bagi pemain atau staf FAS untuk menyambung pendidikan sama ada di peringkat pascasiswazah dan prasiswazah di MSU.

Tambah beliau, ia turut melibatkan jumlah penajaan sebanyak RM200,000 kepada pasukan futsal Selangor (MAC) yang menyertai Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL 2023).

Iklan
Iklan

"Kerjasama ini menyaksikan MSU melalui International Medical School (IMS), Faculty Health and Life Sciences (FHLS) dan School of Education and Social Sciences (SESS) akan berkongsi kepakaran dalam bidang sains sukan, perubatan sukan, pengurusan hiburan dan rekreasi serta pendidikan fizikal.

"Ini adalah untuk memastikan kebajikan setiap pemain MAC dijaga dalam usaha meningkatkan prestasi pembangunan sukan negara khususnya futsal dan bola sepak,” katanya ketika berucap pada Majlis Memeterai MoU di Dewan Canselor MSU, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Iklan

Hadir sama, Presiden FAS, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah; Setiausaha Agung FAS, Muhammad Izrin Nabil; Ketua Pegawai Eksekutif MSUMC, Zahri Abd Ghani; Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon dan Pengarah Perubatan MSUMC, Profesor Dr Badrisyah Idris.

Mengulas lanjut, Mohd Shukri berkata, jalinan kerjasama tersebut akan menyaksikan FAS melalui Selangor MAC memainkan peranan penting dalam aspek pembangunan futsal MSU yang bakal menyertai Liga Super Futsal Institut Pengajian Tinggi (IPT) tahun ini.

Iklan

Sementara itu, Pengurus MAC, Mimi Afzan Afza memberitahu, dengan terjalinnya kerjasama itu dapat membantu meningkatkan lagi prestasi pembangunan sukan khususnya futsal.

Tuturnya, ia juga sebagai salah satu usaha untuk mengangkat futsal sebagai sukan yang lebih dikenali dan diminati oleh semua golongan masyarakat dalam negara.

"Majlis hari ini adalah sebagai tanda untuk membuktikan futsal mampu menjadi sukan berprestij tinggi dan ia bukan lagi sukan sosial.

"Malah jalinan kerjasama antara FAS dan MSUMC ini turut membantu menaikkan futsal di persada sukan negara dan sedikit sebanyak menarik minat agensi-agensi luar yang ingin menyumbangkan tajaan sekali gus meningkatkan prestasi serta pembangunan pasukan MAC,” katanya.