Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Pendidikan Prasekolah hingga Lepas Menengah) meletakkan keutamaan yang tinggi dalam pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).
Ini kerana pendidikan STEM dilihat mampu membantu melahirkan tenaga kerja mahir dan negara akan terus berkembang sebagai sebuah negara maju dalam bidang ekonomi yang berlandaskan STEM.
Menyedari kepentingan STEM, kempen sosial dikenali STEM it up! anjuran mahasiswa Tahun Akhir Komunikasi Pemujukan, Universiti Sains Malaysia (USM) telah dilaksanakan baru-baru ini bertujuan menghapuskan mitos dan stereotaip negatif tentang STEM dalam kalangan ibu bapa dan pelajar sekolah.
Selain itu, ia juga bertujuan mewujudkan kesedaran STEM sekali gus meningkatkan peluang kerjaya khususnya dalam kalangan pelajar berumur antara 13 hingga 22 tahun.
Dalam mencapai matlamat dan objektif STEM it up!, pelbagai aktiviti telah dirancang kepada orang ramai, antaranya STEM Exhibition, STEM Safe Space dan STEMreotypes Growing Minds.
Menerusi aktiviti-aktiviti tersebut, peserta yang terdiri daripada para pelajar berpeluang menimba ilmu pengetahuan tentang pendidikan STEM.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Datuk Mohd Sharil Abdullah memuji STEM it up! yang dianggap sebagai kempen yang memiliki potensi tinggi dalam meningkatkan keyakinan dan semangat dalam bidang STEM.
Katanya, kempen ini memberi banyak kebaikan kepada pelajar kerana mereka dapat mempelajari pelbagai kemahiran baru berkaitan STEM.
"STEM membuka peluang kepada generasi muda untuk menghasilkan bermacam-macam produk berkualiti.
"Oleh itu, mereka perlu merebut segala peluang yang ada dalam mengetengahkan idea STEM masing-masing.
"Saya berharap STEM it up! dan kempen-kempen sebegini akan diteruskan lagi demi manfaat generasi akan datang,” ujar Mohd Sharil.