Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian, Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi (FRIT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merangkul empat anugerah pada program Exceed23 Industrial Design Degree Show ke-13 di Malaysia Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Empat mahasiswa berusia 24 tahun itu merupakan Nur Syazwani Mohd Pauzi yang merangkul Anugerah Terbaik Tema dan Futuristik, Syahrain Edizurin Zamri (Pelajar Terbaik Rekabentuk Perabot), Nurul Iffah Mohd Ghazali (Pelajar Terbaik Rekabentuk Automotif) dan Azra Ein Muhamad Salleh (Pelajar Terbaik Rekabentuk Produk).
Nur Syazwani berkata, dia memilih membangunkan inovasi beca kerana pengangkutan awam berkenaan semakin lama, semakin hilang nilai-nilai khazanah seni identiti negara ini terutama dalam kalangan golongan muda.
"Saya menggabungkan unsur Sustainable Development Goals (SDG) dan futuristik dalam pembikinan beca penuh inovasi berkenaan.
"Pada bahagian bumbung pula, saya menggunakan anyaman buluh yang diberi nafas baharu untuk menonjolkan nilai seni kraf tangan unik negara ini bagi memberi pendedahan kepada para pelancong.
"Ia turut dilengkapi sistem pengecas dan pedal yang lebih mudah dikendalikan pada bahagian pemandu. Idea tersebut adalah untuk memudahkan pemandu terutama golongan warga emas dan wanita,” katanya selepas majlis penutupan pameran tersebut baru-baru ini.
Ia dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembudayaan Sains, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ruziah Shafei baru-baru ini.
Hadir sama, Naib Canselor UniSZA, Profesor Dr Fadzli Adam; Ketua Pegawai Strategi MRANTI, Khalid Yashaiya; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA, Datuk Profesor Madya Ts Dr Mohd Hafiz Yusoff dan Presiden Persatuan Pereka Perindustrian Malaysia (PEREKA), Zafri Merican (Presiden PEREKA).
Program selama tiga hari bermula 14 Februari lalu mendapat kerjasama rakan strategik seperti MOSTI, MRANTI, MIMOS Berhad (MIMOS), PEREKA, Lembaga Perindustrian Kayu (MTIB), Universiti Awam (UA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTA).
Tutur Nur Syazwani lagi, beca berkenaan turut dilengkapi sistem Augmented Reality (AR) untuk memberi dimensi baharu kepada para penumpang.
Katanya, penumpang akan memadankan cermin mata khusus dalam tempoh lima minit untuk merasai, mendengar dan melihat bagaimana bentuk bangunan serta persekitaran mengikut perubahan zaman dari tahun 1980 hingga 2050 ketika menaiki beca tersebut.
Dalam pada itu, Syahrain Edizurin telah membina meja kopi untuk kegunaan penghuni rumah teres masa hadapan dikenali sebagai Flox.
"Saya menampilkan konsep SDG dan futuristik dengan menggunakan daya elektromagnet (maglev) untuk mengapungkan meja kopi dan ia boleh dicantum apabila selesai digunakan.
"Flox direka untuk menyelesaikan masalah ruang terhad dan kekurangan ciri futuristik dan aplikasi teknologi terkini,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UniSZA, Profesor Dr Fadzli Adam berkata, program inovasi tersebut adalah selari dengan pelan strategik UniSZA yang memberi tumpuan kepada pendigitalan dan kelestarian universiti.
"Ia juga bertujuan mempromosikan hasil inovasi mahasiswa UniSZA kepada sasaran pengunjung seperti penggiat industri, pemilik syarikat dan pencari bakat dalam sesi temu duga.
"UniSZA berharap kreativiti para mahasiswa akan terus dipergiat apabila menceburi dunia pekerjaan kelak,” katanya.
Sebanyak 62 produk inovasi rekaan mahasiswa FRIT, UniSZA merangkumi 14 model kenderaan, 21 perabot dan 25 produk bertemakan reka bentuk futuristik dipamerkan pada program tersebut.