Kepakaran Profesor Madya Dr Imran Mohd Ibrahim dalam bidang telekomunikasi membawa tuah apabila beliau dipilih mewakili negara ke mesyuarat ITU Working Party 5D (ITUR-WP5D), Geneva baru-baru ini.
Beliau yang merupakan pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mewakili Malaysia Technical Standard Forum Berhad (MTSFB) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ke ITUR-WP5D bagi berkongsi segala ilmu yang ada dalam mencorak dan membangunkan telekomunikasi masa hadapan dunia.
ITUR-WP5D merupakan forum bawah International Telecommunication Union yang bertanggungjawab berkongsi kepakaran dan merangka pembangunan spesifikasi teknologi telekomunikasi untuk masa depan peringkat global.
Perkongsian kepakaran ini melibatkan tenaga pakar lebih dari 100 buah negara antaranya Malaysia, Amerika Syarikat, China, Great Britain, Jepun, Korea Selatan dan India.
Mengulas lanjut, Imran berkata, antara perkara utama yang disentuh adalah berfokus kepada perincian pembangunan spesifikasi teknologi 6G iaitu teknologi tanpa wayar.
"Selain itu, perkongsian turut memperhalusi tentang kemodenan komunikasi besar-besaran antara peranti telekomunikasi dalam sektor kesihatan dan automotif dunia yang berfokuskan kepada kenderaan tanpa kendalian manusia.
"Seterusnya, pembangunan telekomunikasi dunia turut memperincikan pemerkasaan pengunaan teknologi realiti maya (tanpa wayar) secara meluas,” ujarnya.
Dalam pada itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, ITUR-WP5D merupakan pengiktirafan negara dan dunia kepada kepakaran yang dimiliki UTeM dalam mencorak dan membangunkan teknologi telekomunikasi buat dunia dan komuniti sejagat.
Jelas beliau, selaku universiti awam teknikal berprestij, UTeM sentiasa peka dan terus bersama menerajui arus penerokaan kemodenan telekomunikasi global termasuklah pembangunan teknologi 6G dan penambahbaikan pelaksanaan teknologi 5G.
"Saya berharap perkongsian kepakaran oleh Imran dapat memantapkan lagi pembangunan telekomunikasi ini sepenuhnya,” ujarnya lagi.