Surat Pekeliling Ikhtisas berkaitan pemansuhan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di sekolah yang tidak memberikan impak besar terhadap pembelajaran murid akan dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum sesi persekolahan 2023/2024 bermula.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, surat pekeliling itu akan dikeluarkan bagi memberikan penjelasan dengan lebih terperinci berhubung tindakan pemansuhan tersebut.
Jelas Fadhlina, setiap tindakan yang diambil kementerian itu adalah demi kesejahteraan semua pihak di sekolah khususnya guru-guru yang mempunyai tugasan lebih penting berbanding menjalankan aktivti tidak berimpak besar dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kelas.
"Pemansuhan ini boleh terus dilaksanakan, yang ada dalam surat tersebut nanti adalah perinciannya dan akan dikeluarkan KPM sebelum sesi persekolahan 2023/2024 bermula.
"KPM akan sentiasa menilai situasi dan memperkenalkan langkah-langkah yang dapat mengurangkan beban tugas guru dari semasa ke semasa demi memastikan kesejahteraan guru terjamin sekali gus mengoptimumkan sesi PdP,” ujarnya pada sesi menggulung perbahasan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Isu tersebut menjadi perbahasan berikutan sebuah kenyataan dikeluarkan KPM sebelum ini yang mengumumkan pemansuhan tersebut merupakan antara tujuh langkah segera akan diambil dalam teras kelima KPM yang memfokuskan isu kebajikan termasuk tekanan dihadapi para guru.
Antara aktviti yang tidak mendatangkan impak menurut KPM adalah pertandingan keceriaan pusat sumber, tandas tercantik, Bilik Operasi Sistem Pengurusan Buku Teks (SPBT) terbaik dan sebagainya.
Selain itu ujar Fadhlina, mengenai isu kekurangan guru yang dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen sewaktu perbahasan usul itu, KPM telah melaksanakan pengambilan guru pada tahun 2021 dan 2022.
Jelasnya, pelaksanaan tersebut akan dilakukan secara berterusan dari semasa semasa.
"KPM telah melaksanakan pengambilan seramai 22,327 guru pada tahun 2021 dan 2022, yang ditempatkan di sekolah bawah KPM di seluruh negara.
"Pengambilan guru akan berterusan dari semasa ke semasa, tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran,” katanya.