Masalah kekurangan murid di mana-mana sekolah khususnya di kawasan pendalaman perlu diteliti kerana jika dibiarkan ia boleh mendatangkan kesan yang negatif kepada masyarakat serta menjejaskan usaha pembangunan negara pada masa depan.
Selain itu, kewujudan masalah tersebut juga boleh meningkatkan kebarangkalian adanya anak-anak yang tidak mendapat akses kepada pendidikan yang merupakan hak asasi manusia.
Oleh itu, adalah tanggungjawab pihak berkaitan dalam memberikan perhatian kepada isu ini sekali gus cuba untuk mendapatkan penyelesaian yang terbaik.
Itu yang cuba dicapai Kementerian Pendidikan (KPM) di samping berusaha mencari punca berlakunya isu kekurangan murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di kawasan pedalaman negara ini.
Menurut Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying, KPM akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berhubung isu tersebut.
Jelas Hui Ying, pihaknya juga sedang membuat perancangan jangka masa panjang bagi mengatasi masalah berkenaan.
Malah katanya lagi, selain SJKT, terdapat juga beberapa buah sekolah lain yang menghadapi isu serupa dan turut berada di bawah pemerhatian KPM.
"Kementerian sedang mencari kaedah jangka masa panjang bagi menyelesaikan isu berkenaan agar sekolah Tamil di kawasan pedalaman dapat terus beroperasi.
"Terdapat juga beberapa sekolah lain yang menghadapi isu kekurangan murid terutamanya di kawasan perladangan dan Felda.
"KPM akan meneliti isu ini satu demi satu dan akan membuat perancangan jangka masa panjang bagi mengatasinya,” ujarnya pada Majlis Perasmian SJKT Gunong Rapat di Ipoh, Perak, baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, Thulsi Manogaran.
KPM memberi jaminan mereka akan menyegerakan proses menaik taraf sekolah, pemindahan sekolah bekeperluan dengan kelulusan kerajaan ke bangunan yang baharu dan lain-lain projek bantuan sekolah yang berkaitan.