Masjid Universiti Malaysia Sabah (UMS) atau dikenali ‘The Pink Mosque’ telah menerima kunjungan peribadi Duta Besar Jepun, Takahashi Katsuhiko bersama isteri serta ahli rombongan yang lain.
Kehadiran mereka itu telah disambut penuh hormat oleh Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG), Profesor Madya Dr WardatulAkmam Din bersama warga kampus yang berkaitan.
Menurut WardatulAkmam, lawatan tersebut merupakan manifestasi hubungan erat antara Jepun dan UMS.
Ini kerana kedua-duanya telah menjalin hubungan akrab sejak sekian lama menerusi pelbagai kerjasama yang dimeterai antara agensi dan universiti di Jepun bersama UMS.
Berkongsi tentang senarai kerjasama yang telah dilakukan, WardatulAkmam berkata, sejak tahun 2019, sejumlah 20 universiti di Jepun telah menandatangani beberapa perjanjian surat niat (LoI) dan Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang akademik bersama UMS.
"Kerjasama tersebut antaranya berkaitan mobiliti mahasiswa dan staf serta aktiviti penyelidikan yang melibatkan pemberian dana kepada penyelidik kampus,” ujarnya.
Selain itu, infrastruktur yang disediakan oleh UMS khususnya dalam bidang marin turut menarik minat Kindai University, Jepun sehingga menyaksikan satu kerjasama telah dimeterai.
Seterusnya, UMS telah menjalin kerjasama strategik dengan Nagasaki University, Jepun yang melibatkan mobiliti ahli akademik dari kedua-dua universiti.
WardatulAkmam turut memaklumkan, sehingga 2022, seramai sembilan mahasiswa Jepun di UMS telah berdaftar dan bergraduat, manakala lebih 100 orang telah mengikuti program mobiliti akademik dan edupelancongan yang ditawarkan UMS.
Melihat kepada siri kejayaan UMS bersama Jepun, WardatulAkmam memberitahu yang mereka akan terus berusaha membentuk pelbagai lagi kerjasama strategik dengan rakan universiti luar negara dalam mempromosi kampus sebagai hab pendidikan khususnya di rantau Borneo.