Diberi peluang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) adalah impian kebanyakan pelajar hari ini.
Bagi mereka, inilah peluang yang paling dinanti-nantikan setelah berhempas pulas belajar dan mengulang kaji pelajaran di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Bagaimanapun, tentu ada kebaikan dan keburukan apabila pelajar berjaya ke menara gading.
Persoalannya adakah jurusan yang diikuti pelajar di IPT nanti mampu menjamin pekerjaan kelak.
Menurut kajian seperti dipetik dalam portal kerjaya tempatan, hampir 60 peratus penuntut di IPT mengikuti pengkhususan di mana selepas mereka bergelar graduan pekerjaan itu sukar diperoleh.
Walaupun dikatakan tiada pekerjaan, graduan masih boleh memanfaatkan ilmu yang dipelajari untuk hal-hal tertentu dalam kehidupan seharian.
Hari ini, Sinar Bestari ingin berkongsi beberapa kerjaya yang bakal pupus pada masa hadapan.
Jangan bimbang bagi yang sedang mengikuti bidang tersebut di IPT. Ini sekadar perkongsian untuk pengetahuan kita bersama. Jom baca!
1) Operator media cetak
- Banyak industri media sekarang sudah mula beralih dari media cetak kepada media maya. Akibatnya kerjaya ini akan lenyap kerana ramai pengguna tertumpu untuk mendapatkan berita terkini melalui internet.
2) Chef makanan segera
- Menurut kajian, sebanyak 81 peratus pekerja restoran makanan segera akan menjadi mangsa automasi (penggunapakaian teknologi yang mengurangkan bantuan manusia seminimumnya secara bermesin atau teknologi maklumat).
- Dijangka beberapa tahun akan datang, majikan akan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meminimumkan kos operasi perniagaan.
- Sebagai contoh, CaliBurger sudah menggunakan khidmat robot untuk membalikkan burger dan menjadi pembantu dapur.
3) Buruh
- Menurut laporan, seramai 203,300 buruh akan hilang pekerjaan menjelang 2028 impak kepesatan teknologi. Kerjaya buruh nampaknya akan ditiadakan pada masa hadapan kerana majikan mula menggunakan khidmat robot yang lebih jimat dan cekap.
- Justeru, buruh pemasang akan berasa terancam kerana tugas mereka bakal diambil alih dengan teknologi mesin yang lebih canggih.
4) Ejen pelancongan
- Sebelum ini, ibu bapa merupakan insan paling sibuk menempah tiket dengan agensi pelancongan untuk bercuti bersama keluarga. Tetapi sekarang, banyak agensi pelancongan menutup cawangan kerana ingin memberi tumpuan kepada perniagaan dalam talian. Kini, ibu bapa lebih gemar menempah tiket percutian dengan hanya melayari portal terkemuka seperti Trivago, Opodo dan Skyscanner asalkan mempunyai rangkaian internet.
5) Juruwang
- Kemajuan teknologi yang menggalakkan orang ramai menjadi masyarakat tanpa tunai bakal menutup peluang kerjaya juruwang. Ini kerana kewujudan kiosk layan diri secara besar-besaran telah menjadikan kerjaya juruwang bakal lenyap.