ResQ Team UPSI turun padang bantu mangsa banjir di Johor

Iklan
ResQ Team UPSI digerakkan ke Johor bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggerakkan sekumpulan sukarelawan mereka bagi membantu mangsa banjir di daerah Kota Tinggi dan Segamat, Johor, susulan hujan lebat yang berterusan semenjak beberapa hari lalu sehingga menyebabkan kawasan tersebut dinaiki air.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, sukarelawan dikenali ResQ Team UPSI itu ditugaskan bagi membantu proses menyelamat mangsa yang terjejas di daerah berkaitan.

Iklan
Iklan

"ResQ Team UPSI sentiasa peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan prihatin kepada masyarakat terutama kawasan yang ditimpa bencana.

"Justeru, kita telah menyusun gerak kerja yang cekap dan tindakan yang harus dilakukan sukarelawan ResQ Team dalam memastikan semuanya berjalan lancar,” ujar Md Amin dalam sesi flag-off di Majlis Showcase@UPSI.

Iklan

Menurut Md Amin, misi bantuan ke Johor itu diketuai Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Profesor Madya Dr Mohd Azlan Nafiah bersama-sama 14 sukarelawan dengan kekuatan jentera yang terdiri daripada tiga buah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori.

"Selain menghulurkan bantuan dalam bentuk tenaga, ResQ Team turut memberi sumbangan berupa pakaian, makanan kering dan barangan keperluan asas yang disalurkan melalui beberapa kutipan.

Iklan

"Kutipan tersebut adalah hasil daripada tabung UPSI Prihatin dan sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu My FundAction berjumlah RM37,800,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Norkhalid Salimin berharap, usaha pasukan ResQ Team UPSI ke Johor mampu memberi sinar baharu kepada mangsa banjir menerusi sokongan dan motivasi serta sumbangan yang dihulurkan kepada mereka yang terlibat.