Penghujung tahun lalu kecoh mengenai isu rumah sewa dalam kalangan mahasiswa yang dikatakan terlalu mahal dan jauh dari universiti.
Perkara ini berlaku apabila pelajar tidak mendapat penempatan kolej dan terpaksa menyewa di luar kawasan universiti atau non residen (NR).
Salah satu penyumbang terbesar faktor pelajar terpaksa menyewa di luar adalah kerana peningkatan kemasukan penuntut baharu ke institut pengajian tinggi (IPT) setiap semester yang membuatkan kekurangan bilik di asrama dalam kampus sekali gus membuatkan mereka yang lebih lama atau senior terpaksa menyewa di luar.
Kebiasaanya, rumah sewa yang sering menjadi pilihan mahasiswa adalah rumah jenis teres dan pangsapuri.
Bagi rumah teres, mahasiswa boleh berhubung secara langsung dengan pemilik rumah manakala untuk pangsapuri, mereka mungkin boleh berhubung dengan pihak pengurusan, pemilik rumah atau agen pengantara rumah berkenaan.
Untuk itu, hari ini Sinar Bestari ingin kongsikan kepada anda terutamanya mahasiswa beberapa tip untuk memilih rumah sewa.
Jom baca!
1) Jarak
Pastikan jarak rumah yang dipilih berada di kawasan yang berhampiran dengan kampus pengajian. Ini penting kerana ia mampu menjimatkan kos pengangkutan serta masa. Selain lebih menjimatkan, mahasiswa juga tidak terlalu bimbang untuk berhadapan dengan kesesakan lalu lintas yang lama.
2) Periksa kelengkapan rumah
Sebagai pelajar, anda disarankan untuk menyewa rumah yang sudah memiliki kelengkapan serba lengkap (fully-partially furnished). Apa yang dimaksudkan dengan kelengkapan serba lengkap ini adalah rumah yang disewa itu telah mempunyai peralatan asas seperti katil, perabot, peti ais dan mesin basuh. Harga sewa mungkin sedikit tinggi namun ia akan menjimatkan lebih banyak wang kerana tidak perlu membeli peralatan tersebut menggunakan duit sendiri.
3) Keadaan rumah
Pada zaman teknologi masa kini, anda boleh melihat rumah untuk disewa atau dijual banyak diiklankan dalam internet. Oleh itu, sebelum melakukan kepastian dan sebarang transaksi, anda harus pergi melihat rumah yang ingin disewa itu dengan mata sendiri terlebih dahulu. Sebaiknya mengajak rakan-rakan yang ingin menyewa bersama untuk pergi melihat rumah tersebut. Ini bagi memastikan keselamatan anda lebih terjamin serta boleh bertukar pendapat dengan mereka bagi mendapatkan kata persetujuan bersama.
4) Cari maklumat tentang latar belakang pemilik rumah/pihak pengurusan
Bagi memudahkan urusan sewa, pastikan anda mengkaji latar belakang pemilik rumah atau pihak pengurusan rumah berkenaan. Ini bagi memastikan mereka terbuka untuk sebarang rundingan dan juga bertimbang rasa. Pemilik atau pihak pengurusan yang baik adalah mereka yang menjaga kebajikan penyewa.
5) Periksa tahap keselamatan rumah
Anda harus memastikan kawasan perumahan yang disewa itu memiliki sistem keselamatan yang baik. Lihat sama ada di kawasan perumahan atau kejiranan rumah yang anda ingin sewa itu dilengkapi pengawal keselamatan dan juga kamer litar tertutup (CCTV). Anda juga perlu periksa sama ada pintu atau tingkap rumah berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan ia mudah dimasuki orang pada masa depan.
6) Kemudahan tambahan yang disediakan
Misalnya anda sudah menemukan rumah yang ingin disewa, pastikan anda bertanya kepada pihak berkaitan mengenai sebarang kemudahan tambahan yang disediakan. Contohnya kemudahan internet yang seperti kita sedia maklum sangat berkepentingan untuk pendidikan pada masa kini terutamanya kepada pelajar universiti. Jika tidak disediakan, sebaiknya berbincang dengan rakan yang ingin menyewa terlebih dahulu.
7) Kenali rakan sewa anda dengan lebih baik
Pastikan anda mengenali rakan yang akan menyewa bersama dengan baik. Untuk sesetengah keadaan, anda mungkin terpaksa menyewa dengan orang yang tidak dikenali misalnya pelajar daripada fakulti yang berlainan atau orang dewasa yang sudah berkerja. Sebelum menyatakan sebarang persetujuan, seeloknya cuba duduk berbincang untuk mengenali diri mereka terlebih dahulu.