Sebagai sebuah institut pengajian tinggi (IPT) yang menjadikan teknologi sebagai teras utama pembangunannya, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa mencari peluang untuk melebarkan sayap dengan bekerjasama bersama nama-nama industri besar dalam sektor berkaitan.
Bagi mencapai matlamat itu, UTM telah menjalinkan kolaborasi dengan salah sebuah syarikat kad kredit terkenal dunia, Mastercard.
Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani meletakkan sasaran melahirkan lebih ramai pakar untuk mengendalikan isu berkaitan keselamatan siber pada masa depan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, negara dahagakan lebih ramai pakar keselamatan siber memandangkan penggunaan teknologi itu yang semakin meluas dan pesat membangun baik di peringkat domestik atau antarabangsa.
Jelas Mohamed Khaled, penggunaan teknologi yang luas juga meningkatkan kemungkinan untuk menghadapi risiko serangan siber.
Tambahnya lagi, hubungan strategik universiti dengan industri seperti itu juga dapat memberi gambaran jelas sama ada kurikulum yang digunakan masih lagi relevan dengan keperluan industri semasa atau sebaliknya.
"Institusi pendidikan di negara kita harus mempunyai kemampuan untuk menyediakan sebuah program keselematan siber yang berkualiti tinggi dan juga relevan dengan industri selaras dengan kemajuan teknologi hari ini.
"Jalinan kolaborasi ini juga membolehkan universiti melihat sama ada kurikulum yang digunakan sekarang masih sesuai dengan keperluan industri dan juga jika terdapatnya peluang pekerjaan berkaitan bidang yang dipelajari itu,” katanya pada Majlis Menandatangani MoU antara UTM dan Mastercard di Menara Razak UTM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr Husaini Omar dan Presiden Divisyen Asia Tenggara Mastercard, Safdar Khan.
Dalam majlis tersebut, UTM diwakili Naib Canselornya, Datuk Profesor Ir Ts Ahmad Fauzi Ismail manakala Mastercard diwakili Naib Presiden Eksekutif (Perkhidmatan) Mastercard, Matthew Driver.
Sementara itu menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), MoU tersebut merangkumi kolaborasi pembangunan sebuah program komprehensif yang mengandungi latihan kemahiran dan kursus pendek; pengetahuan dalam mengenal pasti ancaman; pengenalan solusi baharu dan teknologi yang mampu meningkatkan keselamatan dan perlindungan dalam perkhidmatan kewangan.
Tambah KPT, kerjasama tersebut juga akan menyaksikan penubuhan ‘Hab Inovasi Siber UTM-Mastercard’ yang dilengkapi fasiliti serba lengkap.
"'Hab Inovasi Siber UTM-Mastercard' ini akan dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan untuk menjalankan projek-projek penyelidikan berkaitan keselamatan siber melibatkan kepakaran dan pengalaman kedua-dua organisasi,” jelasnya.