RHB Islamic Bank, PPZ-MAIWP taja pelajar asnaf UM

Iklan
Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic, Datuk Adissadikin Ali (kanan) menyerahkan replika cek sumbangan kepada Naib Canselor UM, Profesor Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Shukor (tengah) sambil disaksikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi), PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan.

Pemberian bantuan pendidikan kepada golongan asnaf adalah sangat penting bagi membantu mereka mengatasi kekangan yang dihadapi khususnya dari segi kewangan untuk menerima pendidikan sempurna.

Bantuan itu secara tidak langsung dapat membuka peluang pendidikan serta membantu mereka meningkatkan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan bagi meningkatkan taraf kehidupan masing-masing.

Iklan
Iklan

Ini kerana umum mengetahui pendidikan adalah kunci kepada pintu kejayaan di dalam hayat manusia.

Menyedari akan kepentingan itu, RHB Islamic Bank Berhad (RHB) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah memberikan sumbangan tajaan yuran pengajian kepada 10 pelajar asnaf Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Iklan

Sumbangan tersebut adalah kesinambungan daripada Kempen Pelanggan Mewah Kumpulan Perbankan RHB yang diadakan pada tahun lalu di mana pembayar zakat terdiri daripada kalangan pelanggan dan kakitangan RHB yang mengambil bahagian dalam Skim Wakalah (pengembalian semula wang zakat) untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi), PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan berkata, mereka menawarkan Skim Wakalah atau pengembalian semula sehingga 50 peratus kepada individu yang menunaikan zakat serendah RM20,000 hingga RM1 juta setahun di PPZ-MAIWP.

Iklan

"Dengan Skim Wakalah ini para pembayar zakat boleh mengambil kembali bahagian wang zakat yang ditunaikan untuk diagihkan sendiri kepada asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan.

"PPZ-MAIWP turut menawarkan kerjasama strategik bagi membantu menguruskan dana wakalah pembayar zakat menerusi program turun padang yang diadakan,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Tajaan Yuran Pengajian Pelajar Asnaf UM di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama Naib Canselor UM, Profesor Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Shukor.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic, Datuk Adissadikin Ali, pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pembayar zakat yang telah menyertai inisiatif ‘Pakej Khas untuk Pembayar Zakat di Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan’ yang dilancarkan pada September tahun lalu.

Jelas Adissadikin, tahun ini lebih daripada RM100,000 Zakat Wakalah telah berjaya dikumpulkan di bawah pakej khas tersebut.

"Kami berharap dapat terus bekerjasama lagi untuk mengembangkan inisiatif-inisiatif berimpak tinggi, melalui pelbagai mekanisma zakat serta instrument kewangan sosial Islam yang lain di masa hadapan,” jelasnya.