Seramai 42 sukarelawan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sanggup mengorbankan cuti semester semata-mata ingin menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Segamat, Johor, baru-baru ini.
Ketua pasukan misi bantuan banjir, Mohd Fazhiruddin Kamaruddin berkata, misi bantuan berkenaan dilaksanakan untuk pembersihan kawasan terjejas di daerah terbabit.
"Dalam misi kali ini, kami tidak ketinggalan menyalurkan sumbangan sebanyak 200 Bakul Rahmah dan 100 Bakul Bantuan Persekolahan bernilai RM23,000 kepada mangsa-mangsa banjir yang memerlukan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terpilih.
"Dengan bantuan ini, diharap dapat membantu meringankan beban keluarga mangsa-mangsa banjir terutama apabila sesi persekolahan baharu bakal dibuka dalam tempoh beberapa minggu lagi,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Mohd Fazhiruddin memberitahu, penyelarasan bantuan tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Bahagian Mahasiswa Holistik (BMH).
Tambahnya, sukarelawan berkenaan terdiri daripada 35 mahasiswa dan tujuh staf terdiri daripada pelbagai fakulti untuk bersama-sama membantu mangsa banjir.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Dr Adnan Mohamed Yusoff berbangga dengan sukarelawan terbabit kerana dalam tempoh cuti semester sanggup menggembleng tenaga memberikan bantuan kepada masyarakat memerlukan di kawasan banjir.
"USIM sentiasa peka dengan keperluan semasa dan prihatin terhadap masyarakat apabila melibatkan kawasan yang ditimpa bencana serta sentiasa berusaha untuk membantu dalam apa jua keadaan mengikut kapasiti serta kemampuan.
"Semoga lebih ramai mahasiswa memiliki semangat waja dan empati terutama dari kalangan warga USIM,” ujarnya.