Universiti Multimedia (MMU) dilantik sebagai rakan strategik Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka bagi membantu meningkatkan penguasaan teknologi digital dalam kalangan warga sekolah di negeri terbabit.
Presiden MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud berkata, pihaknya bersama Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) JPN akan menggembleng tenaga untuk menambah baik mutu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dengan penggunaan teknologi digital terkini melalui pelantikan tahun kedua berkenaan.
"MMU bersedia berkongsi kepakaran untuk memupuk bakat digital yang berpengetahuan, berkemahiran dan beretika dalam penggunaan teknologi digital pada masa depan.
"Dengan pengalaman yang dimiliki, MMU berharap dapat bersama-sama memperkasa teknologi digital dan multimedia untuk dimanfaatkan oleh pihak SSTP JPN Melaka,” katanya pada Majlis Kunjungan Hormat SSTP JPN Melaka dan Pelantikan MMU Sebagai Rakan Strategik di MMU Cyberjaya, Selangor, baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah SSTP JPN Melaka, Nasaruddin Rahmat.
Mazliham menambah, pelantikan rakan strategik JPN itu merupakan satu kepercayaan tinggi kepada MMU dalam usaha melahirkan generasi baharu berkompetensi dalam bidang teknologi maklumat dan multimedia untuk memenuhi keperluan masa depan negara.
Beliau menjelaskan, melalui kerjasama itu, kedua-dua pihak dapat merealisasikan kemenjadian holistik anak-anak dalam segenap aspek sama ada jasmani, emosi, rohani atau intelek.