Universiti Tsukuba buka cawangan pertama di Malaysia

Iklan
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersalaman dengan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko (kanan) pada Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia antara kerajaan Malaysia dengan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi dan Kementerian Luar Negeri Jepun di Hotel Pullman, Kuala Lumpur.

"Pembukaan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia mampu dijadikan motivasi kepada negara dalam memastikan taraf pendidikan sentiasa cemerlang dan boleh dicontohi."

Itu antara ucapan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Majlis Menandatangani memorandum kerjasama (MoC) bersama Duta Besar Jepun Takahashi Katsuhiko di Hotel Pullman, Kuala Lumpur pada Selasa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Iklan
Iklan

Khaled berkata, pemilihan negara ini sebagai lokasi penubuhan kampus cawangan universiti awam Jepun pertama di dunia merupakan satu pengiktirafan kepada pengurusan pendidikan tinggi selain memperkukuhkan hubungan antara Malaysia dan Jepun.

Beliau juga yakin dengan penubuhan kampus cawangan universiti berkenaan dapat membantu menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk datang melanjutkan pengajian di negara ini.

Iklan

"Pembukaan kampus cawangan ini sebagai bukti untuk berusaha meningkatkan taraf pendidikan sejajar dengan hasrat menarik bakat, penyelidik dan pemimpin dari seluruh dunia untuk datang dan menuntut di Malaysia.

"Negara juga berhasrat untuk membangunkan sistem pendidikan tinggi terkemuka yang membolehkan kita muncul sebagai destinasi pilihan,” ujarnya.

Iklan

Khaled menambah, pembukaan kampus cawangan universiti berkenaan turut dilihat sebagai tanda penghargaan kerajaan Malaysia kepada kerajaan Jepun dan kesinambungan terhadap Dasar Pandang ke Timur yang sudah mencecah 40 tahun.

Tuturnya, cadangan penubuhan sebuah kampus cawangan institusi pendidikan tinggi Jepun di Malaysia juga telah diutarakan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 2018.

"Kerajaan Jepun telah menyambut baik cadangan berkenaan dan seterusnya mencadangkan supaya kampus cawangan Universiti Tsukuba ditubuhkan di Malaysia.

"Universiti Tsukuba yang ditubuhkan pada 1872 merupakan salah satu daripada 86 buah universiti awam dan tersenarai dalam 10 universiti terbaik di Jepun," tambahnya.

Mohamed Khaled Nordin bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko (kanan) menandatangani memorandum kerjasama (MoC) bagi penubuhan kampus cawangan universiti awam Jepun di negara.

Beliau turut memberitahu, MoC berkenaan adalah sebagai asas persetujuan yang merangkumi objektif, ruang lingkup dan bentuk kerjasama, serta perincian komitmen kewangan oleh kedua-dua buah negara.